AM

AGENDA KESELAMATAN SIBER TERUS DIPERKASAKAN, JAMIN KESTABILAN NEGARA - PM ANWAR

12/02/2026 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Agenda keselamatan siber negara akan terus diperkasakan melalui kerjasama strategik seluruh pihak berkepentingan demi menjamin keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara seiring dengan iklim geopolitik yang tidak menentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata agenda berkenaan antara dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikannya hari ini bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam mendepani ancaman siber yang semakin kompleks.

“Mesyuarat meneliti kemajuan penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) sebagai entiti berpusat yang menyatukan fungsi Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) sebagaimana diluluskan Jemaah Menteri. 

“Melalui penstrukturan ini, PTPKM akan mempunyai penempatan institusi tetap, manakala fungsi dan sumber CSM dipusatkan di bawah CSCDC yang ditempatkan di Jabatan Perdana Menteri, di bawah kawal selia NACSA dan Majlis Keselamatan Negara sebagai sayap teknikal serta operasi,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata mesyuarat itu juga bersetuju dengan cadangan dasar baharu Rang Undang-Undang Jenayah Siber, termasuk peruntukan menangani penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, penyebaran imej intim serta aspek pengekalan data komputer bagi tujuan siasatan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan