AM

PELAJAR UPSI DITEMUKAN LEMAS KETIKA BERKELAH DI SUNGAI BERNAM

12/02/2026 11:50 PM

IPOH, 12 Feb (Bernama) -- Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama dua lagi rakannya di sekitar jambatan Teratak River View, Sungai Bernam, di Tanjong Malim hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa, Muhammad Afiq Aizat Muhd Shukri, 23, itu pada 6.57 petang.

 “Berdasarkan maklumat rakan mangsa, mereka dipercayai dihanyutkan arus kira-kira 10 meter dari lokasi asal kejadian. Mangsa dipercayai dihanyutkan ke kawasan lubuk berhampiran, manakala dua lagi rakannya terselamat selepas dihanyutkan ke kawasan air yang lebih cetek.

“Mangsa kemudian berjaya dibawa naik ke tebing oleh orang awam. Anggota penyelamat turut memberikan bantuan kecemasan di lokasi sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sabarodzi berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 -- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan