KOTA KINABALU, 13 Feb (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di Indah Permai, awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata suspek berumur dalam lingkungan 70-an ditahan pada 5 petang sebelum menahan anak lelaki suspek berusia 20-an pada 11 malam tadi, di sebuah rumah di Sepanggar.
Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah serta Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.
"Suspek utama lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan manakala suspek kedua ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan penahanan suspek.
Syed Lot berkata setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu dan dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, kes berkenaan telah selesai namun siasatan lanjut masih diteruskan.
Semalam, anggota badan seorang wanita dipercayai dikerat kepada beberapa bahagian ditemukan di tempat pembuangan sampah di Indah Permai oleh pekerja pembersihan yang menjalankan kerja kutipan sampah kira-kira 7 pagi.
Pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada 11.40 pagi di lokasi berhampiran.
-- BERNAMA
