AM

PROGRAM IHYA' RAMADAN 1447H PERKUKUH USAHA IMARAH BULAN MULIA - JAKIM

14/02/2026 12:17 PM

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M dilancarkan hari ini sebagai simbol kesiapsiagaan Kerajaan MADANI menyambut ketibaan Ramadan secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata program itu dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan sebagai lambang komitmen bersepadu kerajaan dalam menyelaras gerak kerja mengimarahkan Ramadan pada peringkat nasional.

Beliau berkata program itu dianjurkan Jakim bersama 13 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya mencerminkan kesungguhan agensi hal ehwal agama untuk mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih menyantuni dan menyentuh jiwa.

"Ramadan diraikan bukan hanya sebagai bulan ibadah, tetapi sebagai ruang menyuburkan keimanan, memperkukuh nilai ihsan dan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir daripada merasai kegembiraannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sirajuddin berkata Ops Ihsan 2.0 turut dilancarkan serta pengukuhan inisiatif Sekolah Angkat Tabung Haji dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf.

"Ops Ihsan 2.0 menjadi manifestasi komitmen berterusan dalam menyelaras bantuan kemanusiaan bantuan secara lebih sistematik, dan berimpak tinggi melalui mobilisasi sukarelawan serta pengagihan bantuan kepada golongan yang memerlukan sepanjang Ramadan," katanya.

Inisiatif Sekolah Angkat Tabung Haji pula memperluas sokongan kepada institusi pendidikan Islam dan pelajar daripada keluarga asnaf di seluruh negara, merangkumi aspek kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah.

Sirajuddin berkata bersempena Ramadan tahun ini, pelbagai program dirangka termasuk majlis berbuka puasa bersama masyarakat, program turun padang mendekati komuniti, penyampaian sumbangan kepada asnaf serta pengisian rohani yang memperkukuh penghayatan ibadah.

"Pendekatan ini turut diperluas menerusi rancangan televisyen, slot khas radio dan perkongsian digital di platform media sosial rasmi bagi memastikan mesej, dan penghayatan Ramadan sampai kepada setiap lapisan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan