AM

PRR PAYA RUMPUT BERNILAI RM80 JUTA AKAN DIBANGUNKAN DI TAMAN PAYA EMAS

14/02/2026 05:07 PM

MELAKA, 14 Feb (Bernama) -- Program Residensi Rakyat (PRR) Paya Rumput yang menelan kos pembinaan sebanyak RM80 juta akan dibangunkan di Taman Paya Emas di sini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata projek perumahan kos rendah yang dibangunkan menerusi peruntukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu kini menunggu tempoh untuk dilaksanakan.

"Program Residensi Rakyat (PRR) sebelum ini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat (PPR) dan projek ini adalah yang kedua dibangunkan dalam Dewan Undangan Negeri Paya Rumput selepas PPR Krubong.

"PRR Paya Rumput dijangka menyediakan sebanyak 280 unit rumah, sekali gus membuka peluang kepada rakyat DUN Paya Rumput untuk memiliki rumah pertama mereka," katanya kepada pemberita di pekarangan Stadium Hang Jebat di sini, hari ini.

Rais, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Demi Paya Rumput yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Rais berkata PRR Bukit Katil yang kini dalam proses tender dijangka dilaksanakan pada tahun ini dan semua projek PRR berkenaan memberikan peluang kepada lebih ramai rakyat Melaka yang masih belum memiliki rumah untuk merealisasikan impian mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 34 menara telekomunikasi telah berjaya dibina dan beroperasi di seluruh DUN Paya Rumput sejak 2021 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM18.3 juta.

Rais berkata pembangunan menara telekomunikasi itu bertujuan menyelesaikan masalah liputan dan kelajuan Internet yang merupakan antara aduan utama penduduk selain membekalkan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi kepada rakyat.

"Kesemua pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada lapan manifesto yang saya tawarkan kepada rakyat DUN Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri 2021.

"Manifesto lain ialah menyelesaikan isu banjir, memperkasakan ekonomi rakyat, meningkatkan taraf pendidikan, menaik taraf infrastruktur masjid dan kemudahan mobilisasi kesihatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan