KUALA KANGSAR, 14 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan umat Islam di negara ini supaya mengambil peluang menjalani ibadah puasa bagi meningkatkan martabat diri bersempena Ramadan yang bakal menjelang beberapa hari lagi.
Anwar berkata masyarakat Islam seharusnya memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadan dengan berusaha memperbaiki sahsiah diri demi kebaikan bersama.
“Allah mengingatkan kita bahawa Ramadan adalah kesempatan, terutama kita sering sibuk dan leka. Ambillah peluang ini kerana setiap malam kita diperingatkan untuk memperbaiki diri.
“Bukan masa untuk cabar atau menghina orang lain, tetapi cabarlah diri sedniri. Tanyakan pada diri, “Apakah aku mampu menjadi lebih baik daripada sebelum Ramadan tahun ini?”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santuni MADANI dan Sambutan Ihya’ Ramadan Warga Padang Rengas bersama Perdana Menteri di Arena Kampung Chuar, Kati di Padang Rengas, dekat sini hari ini.
Turut hadir pada mjlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi serta Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pembangunan Masjid Al-Taufiqiah di kawasan itu.
Selain itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 28 masjid di Parlimen Padang Rengas berjumlah RM140,000, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Yahyawiah sebanyak RM200,000 serta sumbangan Dapur MADANI berjumlah RM60,000.
-- BERNAMA
