DUNIA

HUBUNGAN DUA HALA DENGAN TURKIYE PADA KEDUDUKAN PALING KUKUH, KATA DUTA MALAYSIA

14/02/2026 08:44 PM

ANKARA, 14 Feb (Bernama-Anadolu) -- Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal berkata hubungan antara Malaysia dan Turkiye berada pada kedudukan paling kukuh, sambil menambah kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan dan keselamatan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.

Memandangkan tempoh perkhidmatannya di Turkiye akan berakhir, Sazali bersama isteri meluangkan masa mengunjungi kawasan sekitar Istana Ankara dan berkongsi dengan Anadolu mengenai hubungan dua hala serta pengalaman beliau di negara itu.

Setelah berkhidmat di ibu negara Turkiye selama kira-kira lima tahun setengah, Sazali berkata beliau berasa seperti di tanah air sendiri sejak dari awal lagi dan menyifatkan bandar raya itu sebagai lokasi yang kaya dengan sejarah.

Mengimbau detik menyerahkan watikah pelantikan kepada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Sazali berkata presiden itu menyebut namanya dan bertanya sama ada beliau mempunyai sebarang kaitan dengan Turkiye kerana berkongsi nama Mustafa Kemal.

Beliau berkata perkara itu amat bermakna buat dirinya dan menganggapnya sebagai satu kelebihan kerana berkongsi nama dengan tokoh sejarah terkemuka itu, sambil menyatakan bahawa ia adalah nama yang lazim di Malaysia.

Beliau turut berkata Ankara mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya kerana beliau tiba di Turkiye dalam keadaan bujang dan kemudiannya mendirikan rumah tangga di negara itu, menjadikan tempohnya di sana sukar dilupakan.

Duta itu memuji warisan sejarah Turkiye yang mendalam dan menyifatkan masakan Turkiye sebagai antara elemen budaya paling bernilai negara itu, yang menghimpunkan pelbagai cita rasa Eropah, Asia dan Timur Tengah.

Menurut beliau, Iskender merupakan hidangan kegemarannya dan sentiasa berusaha menikmatinya ketika berada di Bursa.

Iskandar berkata beliau telah melawat banyak wilayah di Turkiye dan menamakan Istanbul sebagai bandar kegemarannya kerana Bosphorus dan lautnya.

Menurut duta itu, beliau kerap mengunjungi Cappadocia dan menikmati landskapnya, manakala lawatan ke Gunung Nemrut membuatkan beliau seolah-olah mengembara merentasi sejarah.

Sazali berkata beliau cuba mempelajari bahasa Turkiye namun mendapati bahasa itu memerlukan tumpuan yang tinggi.

Beliau menambah bahawa perkataan Turkiye kegemarannya ialah “arkadaslar” (kawan-kawan), kerana setiap kali mengingati perkataan itu beliau terfikir akan masyarakat Turkiye dan kemesraan mereka.

Beliau turut menyentuh mengenai Tahun Melawat Malaysia 2026, sambil mengajak keluarga Turkiye meneroka itu dan menyatakan Malaysia menawarkan pelbagai tarikan.

Merujuk kepada seni mempertahankan diri, beliau berkata memegang tali pinggang hitam dalam taekwondo selain mengetengahkan seni bela diri tradisional Malaysia iaitu silat, sambil menyatakan keyakinan bahawa rakyat Turkiye akan menghargainya.

Mengenai hubungan dua hala, Sazali menegaskan hubungan antara Malaysia dan Turkiye telah lama terjalin secara diplomatik, dengan hubungan antara rakyat telah wujud sebelum penubuhan rasmi hubungan diplomatik pada 1964.

Beliau menyatakan bahawa hubungan itu menyaksikan perkembangan pesat dan pada masa ini berada pada tahap yang amat baik.

Menurut beliau, hubungan kedua-dua negara dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022 dan lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara telah mengukuhkan kerjasama dalam isu serantau dan global.

Merujuk isu Palestin, Sazali berkata Malaysia dan Turkiye sentiasa berunding antara satu sama lain dan bergerak secara selaras.

Beliau berkata dengan bertindak bersama, kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam mempromosikan kestabilan serantau, keselamatan dunia dan keamanan antarabangsa.

Beliau menekankan kepentingan hubungan antara rakyat, dengan kira-kira 100,000 rakyat Malaysia melawat Turkiye pada 2025, manakala sekitar 31,000 rakyat Tukiye melawat Malaysia setiap tahun.

Duta itu turut menyatakan bahawa Malaysia boleh belajar daripada Turkiye dalam bidang seperti pertahanan, pembangunan dan kejuruteraan, manakala Turkiye boleh memanfaatkan pengalaman Malaysia dalam industri semikonduktor.

Beliau berkata Malaysia menyokong usaha Turkiye untuk menjadi rakan dialog ASEAN serta menonjolkan pengalaman Turkiye dalam diplomasi, pertahanan, hubungan antarabangsa dan keselamatan, dengan Ankara sering berada di barisan hadapan dalam menggalakkan pengantaraan dan rundingan bagi menyelesaikan konflik serta krisis antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan