AM

KPDN SERAH PROJEK KAMPUNG ANGKAT DAN SEKOLAH ANGKAT MADANI

16/02/2026 03:56 PM

ALOR SETAR, 16 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerahkan Projek Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI KPDN Tahun 2025 di Tikam Batu, Sungai Petani, semalam.

KPDN dalam kenyataan memaklumkan program itu inisiatif strategik kerajaan yang digerakkan selaras dengan semangat Malaysia MADANI dengan matlamat memperkukuh pembangunan luar bandar serta memperkasakan komuniti desa secara holistik dan mampan.

“Inisiatif ini juga menekankan pendekatan kolaboratif melalui penglibatan menyeluruh agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan serta masyarakat setempat dalam merancang dan melaksanakan program pembangunan berimpak tinggi.

“Menerusi peruntukan RM1.1 juta yang disalurkan, KPDN berjaya melaksanakan empat projek fizikal dan masing-masing dua projek pembekalan kelengkapan serta program perkhidmatan komuniti di Mukim Tikam Batu dan Mukim Simpor,” menurut kenyataan itu.

KPDN memaklumkan antara projek dan program Kampung Angkat MADANI ialah menaik taraf jalan kampung dan kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Simpor, memasang 42 lampu solar serta membina pagar di sekitar Tanah Perkuburan Alor Bemban.

“Turut dilaksanakan ialah membekal dan memasang penyaman udara di masjid serta surau selain membekal dan memasang set pembesar suara di surau.

“Bagi program Sekolah Angkat MADANI, selain projek pembangunan KPDN turut menumpukan pada kerja penambahbaikan pembangunan sekolah di lokaliti berdekatan yang dapat memberikan impak tinggi terhadap pelajar secara langsung,” menurut kenyataan itu. 

Menerusi Program Sekolah Angkat MADANI di SK Tikam Batu, KPDN percaya pelaburan terbaik ialah menyediakan fasiliti pembelajaran selamat dan selesa dengan turut dilaksanakan ialah penggantian dinding kayu di tiga kelas kepada bata dan menggantikan pagar lama di prasekolah.

KPDN memaklumkan ia turut membekalkan aset bagi kemudahan dan kelengkapan untuk pengajaran dan pembelajaran serta melaksanakan program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk menggalakkan kanak-kanak menceburi bidang inovasi dan kemahiran. 

“Pelaksanaan projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi satu manifestasi daripada teras Malaysia MADANI iaitu ihsan dan kesejahteraan bagi memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pemodenan perdana.

“Pendekatan ini juga dirangka oleh kerajaan bagi memastikan manfaat pembangunan yang diberikan turut dirasai secara bersama-sama oleh seluruh lapisan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan