AM

MAXIM PERKUKUH CIRI KESELAMATAN DALAM APLIKASI, KOMITED TOLERANSI SIFAR SALAH LAKU

16/02/2026 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Maxim Malaysia (Maxim) mengulangi komitmennya berkaitan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk gangguan dan salah laku berikutan insiden gangguan seksual baru-baru ini dalam industri e-panggilan yang mendapat perhatian meluas di seluruh negara. 

Pengarah Maxim Malaysia Mohd Hazwan Musley berkata aspek keselamatan perlu kekal sebagai keutamaan yang tidak boleh dikompromi dan kejadian seumpama itu memperlihatkan tanggungjawab yang perlu digalas setiap pengendali.

“Maxim juga kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan suasana perjalanan yang selamat, berhemah dan bertanggungjawab untuk semua pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai respons terhadap isu berkenaan, Maxim telah menghadiri mesyuarat bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 12 Feb lepas, dengan pada pertemuan terbabit pengendali e-panggilan diberi galakan untuk meningkatkan komunikasi keselamatan dan memperkukuh langkah perlindungan dalaman dalam aplikasi masing-masing.

“Selaras dengan panduan itu, Maxim telah menambah baik rangka kerja keselamatan dan ciri dalam aplikasi bagi menyediakan kadar tindak balas yang lebih pantas serta perlindungan yang lebih kukuh di seluruh platform.

“Syarikat telah mempertingkatkan sistem pemeringkatan aduan automatik bagi memastikan laporan berkaitan keselamatan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan segera. Kes-kes yang mendesak kini disalurkan kepada petugas khas untuk penilaian segera,” menurut kenyataan itu.

Maxim memaklumkan setiap laporan kecemasan akan disemak melalui proses pengesahan dalaman bagi memastikan akauntabiliti, ketelusan dan penyelesaian sewajarnya.

Menurut kenyataan itu, Maxim turut meningkatkan kesedaran pengguna dengan menyepadukan peringatan keselamatan secara pop-up dalam aplikasi yang dipaparkan setiap kali pengguna membuka aplikasi, membimbing mereka mengenai langkah perlindungan penting sebelum memulakan setiap perjalanan.

“Peringatan terbabit menekankan ciri keselamatan utama termasuk fungsi SOS yang membolehkan penumpang mendaftarkan terlebih dahulu kenalan dipercayai. Apabila diaktifkan, fungsi itu membolehkan akses pantas terhadap bantuan kecemasan dan pada masa sama memberitahu kenalan yang telah didaftarkan.

“Ia boleh disambungkan terus dengan sistem kecemasan 999 di Malaysia, membolehkan koordinasi segera dengan pihak berkuasa apabila diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Ciri Penjejakan Perjalanan Maxim pula membolehkan penumpang berkongsi pautan perjalanan secara langsung dengan ahli keluarga atau individu dipercayai, memberikan gambaran masa nyata mengenai laluan serta meningkatkan rasa selamat sepanjang perjalanan.

Segala komunikasi antara penumpang dan pemandu dikendalikan hanya melalui sembang dalam aplikasi Maxim yang dilindungi bagi menjaga kerahsiaan maklumat peribadi serta mengekalkan rekod interaksi yang boleh disahkan.

Selain itu, sebarang aduan berkaitan keselamatan yang dihantar melalui aplikasi akan secara automatik dikenal pasti dan diberi keutamaan menerusi proses peningkatan yang teratur bagi memastikan laporan sensitif ditangani dengan segera.

“Maxim akan terus mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan teknologi, memperbaiki proses pemantauan dalaman serta memupuk kesedaran pengguna. Menerusi pendekatan itu, penumpang dan pemandu mampu meyakini bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan syarikat dan setiap perjalanan menerusi platform terbabit dijamin, dipantau serta boleh dipercayai,” menurut Maxim.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan