KOTA BHARU, 17 Feb (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan Mesyuarat Luar Biasa bagi membincangkan pelantikan pengerusi baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Feb ini.
Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata mesyuarat itu dijadualkan berlangsung di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur pada 3 petang, selepas selesai mesyuarat PAS Pusat pada hari sama.
"Mesyuarat luar biasa ini diadakan selaras dengan peruntukan perlembagaan gabungan itu yang membolehkannya dilakukan apabila sekurang-kurangnya separuh daripada pimpinan utama parti anggota bersetuju.
"Sekarang ada empat parti dalam PN. Apabila dua parti telah menyatakan persetujuan, maka mesyuarat luar biasa perlu diadakan. Setakat ini, semua parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah bersetuju," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata agenda mesyuarat itu setakat ini, tertumpu kepada dua perkara utama, iaitu meluluskan peletakan jawatan Pengerusi PN dan seterusnya melantik Pengerusi PN yang baharu.
"Isu pelantikan Ketua Pembangkang tidak termasuk dalam agenda rasmi mesyuarat berkenaan, namun tidak menolak kemungkinan perkara itu dibangkitkan," katanya.
Pada 30 Dis tahun lepas, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.
-- BERNAMA
