IPOH, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan penyelenggaraan terhadap infrastruktur berkaitan sebagai langkah jangka pendek untuk menangani masalah banjir di sekitar daerah Kinta.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu melibatkan kolam takungan banjir, pam kawalan banjir dan pintu kawalan air agar dapat berfungsi secara optimum.
Beliau berkata sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kinta Fasa Dua, menaik taraf Jambatan Jalan Raja (pintu gerbang) di Gugusan Manjoi, melaksanakan kerja pelebaran dan pendalaman Sungai Pari serta menaik taraf sistem saliran dalaman kawasan perkampungan oleh agensi berkaitan.
"Kerajaan negeri komited untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan segala usaha mitigasi serta penambahbaikan infrastruktur akan dipercepat bagi mengurangkan risiko kejadian berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata jumlah taburan hujan melebihi 80 milimeter (mm) antara punca banjir di daerah Kinta Isnin lepas.
Beliau berkata kawasan hulu Sungai Kinta dan Sungai Pari merekodkan jumlah taburan hujan sebanyak 83.5 mm.
"Hujan lebat menyebabkan peningkatan paras sungai secara mendadak melebihi dua meter (m) dalam tempoh kurang dua jam. Paras tertinggi yang direkodkan di Stesen Aras Air Sungai Kinta di Kuala Pari ialah 32.04 m pada 8.15 malam sebelum menunjukkan trend penurunan kepada 29.99 m setakat 2.10 petang, 17 Feb," katanya.
Mohammad Nizar berkata kejadian itu telah menyebabkan air Sungai Pari melimpah ke kawasan rendah khususnya di sekitar Manjoi dan Buntong serta beberapa kawasan berhampiran Sungai Pari termasuk Taman Hock Aun dan Jalan Kuala Kangsar dengan paras air antara 0.3 hingga 0.6 meter.
"Selain faktor hujan luar biasa, halangan aliran air di Jambatan Jalan Raja (Pintu Gerbang) akibat paras soffit jambatan yang rendah turut dikenal pasti menyumbang kepada limpahan air," katanya.
-- BERNAMA
