AM

TAMAN REKREASI MADANI JADI LOKASI SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA

18/02/2026 11:40 AM

IPOH, 18 Feb (Bernama) -- Taman Rekreasi MADANI Kampung Baru Ayer Tawar menjadi lokasi sambutan perayaan Tahun Baharu Cina apabila pesta bunga api berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung semalam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata penganjuran program berkenaan bukan sahaja memeriahkan suasana Tahun Baharu Cina, malah memperkukuh perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Pesta bunga api ini mencerminkan semangat kebersamaan rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama di negara kita yang tidak pernah melepaskan peluang untuk menziarahi satu sama lain demi menjalin silaturahim.

“Kepelbagaian budaya dan semangat kebersamaan inilah yang menjadi kekuatan dan keunikan negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata Kampung Baru Ayer Tawar yang pernah muncul juara pertandingan pengindahan Kampung Baru, kini semakin dikenali sebagai destinasi tumpuan komuniti serta pelancong tempatan.

“Penganjuran acara seperti ini di taman rekreasi MADANI mampu merancakkan aktiviti sosial dan ekonomi setempat, di samping mempromosikan identiti unik kampung baru sebagai sebahagian daripada warisan negara,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dan ADUN Pantai Remis Wong May Ing.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan