Oleh Tuwaedaniya Meringing
BANGKOK, 18 Feb (Bernama) -- Umat Islam di Thailand akan mula berpuasa Khamis (19 Feb), menurut kenyataan Pejabat Sheikhul Islam Thailand pada Rabu.
Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom, berkata Thailand menetapkan hari ini bagi melihat anak bulan Ramadan di beberapa lokasi di wilayah selatan.
“Tarikh 1 Ramadan yang bersamaan 19 Feb ditetapkan selepas anak bulan Ramadan kelihatan di daerah Yaha, wilayah Yala,” katanya ketika membuat pengumuman di Pejabat Sheikhul Islam di Bangkok menerusi siaran langsung televisyen NBT pada Rabu.
Thailand dianggarkan mempunyai kira-kira 10 juta penduduk beragama Islam yang terus memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan berbilang budaya di negara itu.
-- BERNAMA
