AM

PM ANWAR SERTAI SOLAT JENAZAH TUN ABDUL HAMID

19/02/2026 11:53 PM

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai solat jenazah bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad, di Surau Taman Selatan, Presint 20, di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang tiba pada jam 4.50 petang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin; serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 selepas disolatkan kira-kira 200 jemaah dan diimamkan Imam Masjid Mahmudiah Presint 18, Ustaz Rafuwan Putra Affendi.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 83 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), tengah hari tadi.

Perkara itu disahkan anak perempuan Allahyarham, Murni Abdul Hamid, ketika dihubungi Bernama.

Murni berkata bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 9 Feb lepas dan meninggal dunia akibat sakit tua di sisi isterinya Toh Puan Hamidah Choong Abdullah serta anak-anak.

Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 Sept 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada Disember 2007 hingga Oktober 2008.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan