KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyifatkan inisiatif Kerajaan MADANI mengangkat semula martabat sejarah negara dengan memperkukuh pendidikan sejarah menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) sebagai tepat pada masanya.
Aaron dalam kenyataan sempena dengan Ulang Tahun Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu hari ini berkata langkah itu bagi memastikan generasi muda memahami erti sebenar kemerdekaan dan tanggungjawab sebagai warganegara.
Beliau berkata usaha berkenaan juga bukan sekadar memperkaya pengetahuan tetapi juga membina kesedaran sivik dan semangat patriotisme.
"Dengan kefahaman sejarah yang mendalam, generasi hari ini akan lebih berarah, berprinsip dan sentiasa berpaksikan jati diri kebangsaan dalam mendepani cabaran semasa serta membina masa depan negara," katanya dalam kenyataan itu.
Mengimbau kembali peristiwa 20 Feb 1956, Aaron berkata tarikh itu merupakan detik Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sekembalinya Rombongan Merdeka dari London.
Beliau berkata peristiwa bersejarah itu membuktikan bahawa kemerdekaan tidak lahir dengan mudah, sebaliknya dibina melalui rundingan yang penuh kebijaksanaan, semangat toleransi, pengorbanan besar serta perpaduan rakyat berbilang kaum.
"Tanggal 20 Februari 1956 bukan sekadar satu catatan dalam sejarah negara. Ia merupakan detik kebangkitan sebuah negara bangsa, saat harapan seluruh rakyat disatukan dan titik mula perjalanan menuju kemerdekaan yang sebenar," katanya.
Dalam pada itu, bagi menyokong pemeliharaan warisan negara, Aaron memaklumkan Kementerian Perpaduan Negara telah menubuhkan Majlis Sejarawan Negara tahun lepas sebagai wadah menghimpunkan kepakaran, memelihara naratif sejarah yang sahih serta memastikan sejarah negara terus hidup dalam jiwa rakyat.
Selain itu, beliau berkata kementeriannya melalui Arkib Negara Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia akan terus memperkukuh usaha pemeliharaan, pendokumentasian dan penghayatan sejarah agar khazanah negara terus terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata segala inisiatif adalah ikhtiar berterusan untuk membina perpaduan berteraskan kesedaran sejarah dan penghayatan nilai kenegaraan.
"Sesungguhnya, sejarah adalah akar kepada perpaduan, dan perpaduan adalah benteng kepada kelangsungan negara.
“Marilah kita bersama-sama mengenang sejarah, menghargai perjuangan para negarawan dan memperkukuh tekad untuk membina Malaysia yang bersatu, harmoni dan berdaya tahan demi generasi hari ini serta masa hadapan,” katanya.
-- BERNAMA
