KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan terus menerajui agenda produktiviti negara dalam usaha menyokong sasaran pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus setahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan tumpuan strategik terhadap pendigitalan, pembangunan bakat mahir serta reformasi peraturan.
Pengarah Bahagian Produktiviti Insan MPC Mohamad Muzaffar Abdul Hamid berkata sebagai agensi pusat yang memangkin agenda produktiviti negara, pihaknya menekankan penerimaan teknologi dan pendigitalan, pembangunan tenaga kerja, serta pelaksanaan reformasi bagi memudah cara urusan perniagaan dan memperkukuh ekosistem ekonomi secara menyeluruh.
Beliau berkata pembangunan bakat masa hadapan yang sejajar aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menjadi keutamaan, termasuk sasaran meningkatkan peratus tenaga kerja mahir kepada 35 peratus serta menaikkan purata tempoh pendidikan rakyat daripada 11.1 tahun kepada 12.7 tahun.
“Kita kena besarkan saiz ekonomi (negara) supaya dapat menghasilkan keuntungan syarikat yang tinggi, memastikan gaji ditingkatkan agar rakyat Malaysia dapat hidup lebih sejahtera, bahagia dan makmur serta kerajaan dapat mengutip hasil mencukupi bagi membina infrastruktur yang boleh melonjakkan lagi pertumbuhan produktiviti negara,” katanya ketika menjadi tetamu dalam Program Ruang Bicara di Bernama TV malam ini.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Muzaffar berkata antara inisiatif unik yang dibangunkan MPC ialah model latihan berkonsepkan “place and train” melalui kerjasama industri, kerajaan dan akademia, dengan menempatkan peserta latihan terus di industri bagi meningkatkan kemahiran bersesuaian dengan keperluan sebenar sektor berkenaan.
“Model akademi dalam industri ini dapat merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan industri kerana teknologi berkembang pesat di peringkat industri. Program dirangka “oleh industri untuk industri” dengan pengiktirafan kerajaan,” jelasnya.
Beliau berkata inisiatif berkenaan turut melibatkan kerjasama empat kementerian utama iaitu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan sokongan Kementerian Pendidikan.
Mohamad Muzaffar berkata pendekatan menyeluruh yang melibatkan keseluruhan ekosistem negara amat penting memandangkan modal insan merupakan faktor penentu perubahan, khususnya dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi seperti semikonduktor, tenaga dan aeroangkasa.
Dalam konteks industri semikonduktor, beliau berkata kerajaan menyasarkan nilai eksport mencecah RM1 trilion di bawah RMK13, sekali gus menuntut penawaran tenaga kerja mahir yang mencukupi dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
“Bagi menyokong NIMP 2030 dan RMK13, kita perlu memastikan bekalan tenaga kerja mahir yang konsisten untuk menyokong pengembangan industri dan pertumbuhan produktiviti negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan UWC Bhd Ng Sze Yen berkata program Akademi Dalam Industri (ADI) yang diselaraskan oleh MPC terbukti berkesan dalam mempercepat pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor pembuatan.
Beliau berkata UWC yang terlibat dalam aktiviti pembuatan bagi menyokong industri semikonduktor, perubatan dan telekomunikasi, pernah berdepan kekurangan tenaga kerja ketika perniagaan berkembang semasa pasca pandemik COVID-19 pada 2023.
“Ketika itu MPC menyelaras program Akademi Dalam Kilang (AIF) dan UWC antara kilang yang menyertainya. Ia satu pengalaman baharu kepada kami apabila akademi dilaksanakan dalam persekitaran kilang,” katanya.
Beliau berkata program tersebut memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mempunyai pengalaman industri untuk menceburi bidang teknikal dan kejuruteraan secara lebih terarah.
Ng berkata UWC memulakan pengambilan kumpulan pertama melibatkan 12 peserta pada 2023 dan jumlah itu kini meningkat kepada lebih 100 orang sejajar perkembangan perniagaan syarikat.
Beliau berkata graduan ADI memiliki kelebihan berbanding laluan akademik konvensional kerana mereka memperoleh pengalaman industri dan pembelajaran secara serentak, sekali gus menjadi nilai tambah serta prospek kenaikan gaji dan kemajuan kerjaya sebagai jurutera atau penolong jurutera.
-- BERNAMA
