KOTA KINABALU, 21 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah mencatatkan peningkatan kepada 3,768 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 3,685 orang pada 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan daerah Pitas mencatatkan peningkatan jumlah mangsa kepada 1,653 orang daripada 621 keluarga berbanding 1,515 orang daripada 593 keluarga pada sebelah pagi.
Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa di Kota Marudu menunjukkan penurunan kepada 1,923 orang daripada 778 keluarga berbanding 1,978 orang daripada 925 keluarga sebelum ini.
Situasi banjir di Paitan pula tidak berubah dengan 192 orang daripada 75 keluarga masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Kenyataan itu memaklumkan kesemua mangsa daripada 1,474 keluarga ditempatkan di 18 PPS yang beroperasi, menyaksikan penurunan berbanding 1,593 keluarga pada pagi ini.
Secara keseluruhan, bencana banjir di ketiga-tiga daerah telah menjejaskan 47 kampung namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kematian dilaporkan setakat ini.
-- BERNAMA
