PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki telah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham pada 19 Feb lepas, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam telah bersidang pada 19 Feb dan berdasarkan laporan awal yang diterima, jawatankuasa itu sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan pemilikan saham berkenaan oleh Azam.
“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai segala keterangan yang diperoleh dan akan memanggil saksi lain yang berkaitan bagi melengkapkan siasatan terhadap perkara itu.
“Jawatankuasa memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional,” katanya.
Shamsul Azri turut memaklumkan hasil siasatan dan syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan diangkat kepada pihak berkuasa, termasuk sekiranya didapati wujud sebarang pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang jenayah atau peraturan yang berkuat kuasa.
Media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Azam bagaimanapun pada sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
-- BERNAMA
