DUNIA

PBB KELUARKAN AMARAN RISIKO KEBAKARAN TINGGI DI PUSAT PERLINDUNGAN GAZA

22/02/2026 05:39 PM

NEW YORK, 22 Feb (Bernama-WAFA) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa keluarga Palestin yang hilang tempat tinggal dan kini berlindung di pusat perlindungan yang sesak di Semenanjung Gaza, terus berdepan risiko tinggi kebakaran serta ancaman kesihatan yang semakin meruncing.

Menurut  laporan Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) yang memetik Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata keperluan terhadap penyelesaian penempatan yang lebih selamat dan sesuai kini menjadi amat mendesak.

OCHA memaklumkan pada Sabtu bahawa kebanyakan keluarga terpaksa memasak, tidur dan menyimpan barang keperluan mereka di ruang yang sempit dengan menggunakan api terbuka dan sejak November lepas, sekurang-kurangnya 12 insiden kebakaran telah direkodkan di pusat-pusat perlindungan berkenaan. 

OCHA berkata dalam tempoh hanya 10 hari pada bulan Februari, petugas kemanusiaan berjaya menyediakan perlindungan kepada 85 keluarga di Deir al-Balah dan Khan Younis selepas kediaman sementara mereka di Bandaraya  Gaza musnah dalam kebakaran.

-- BERNAMA-WAFA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan