AM

PM ANWAR SERU KEMBALIKAN "KEWARASAN" DALAM POLITIK ANTARABANGSA

23/02/2026 08:55 PM

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar politik antarabangsa dipraktikkan dengan lebih berhemah dan matang, di samping menekankan keperluan mendesak untuk memulihkan “kewarasan” dalam kalangan pemimpin dunia.

Anwar berkata kebimbangan utama beliau dalam hal ehwal antarabangsa adalah keperluan untuk “mengembalikan kewarasan dalam kalangan pemimpin politik”, dengan menekankan walaupun rantau ini masih agak stabil, rantau lain di dunia sedang menghadapi pelbagai cabaran.

“Semoga Allah memberi kita kekuatan dan iltizam untuk berusaha lebih keras bagi mengekalkan kewarasan, bukan sahaja di sini tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Kebimbangan utama saya mengenai politik antarabangsa, yang saya tidak mahu sentuh sekarang ialah terdapat keperluan untuk mengembalikan kewarasan dalam kalangan pemimpin politik. Mungkin tidak terlalu diperlukan di rantau ini, tetapi di rantau lain," kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Luar bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, duta besar serta pesuruhjaya tinggi di Malaysia.

Perdana Menteri memuji Kementerian Luar (Wisma Putra) atas dedikasi dan profesionalisme dipamerkan terutama semasa Malaysia memimpin ASEAN tahun lepas.

“Beliau (Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin) bersama pasukannya, di bawah pimpinan Menteri Luar (Mohamad) telah melaksanakan tugas dengan cemerlang,” kata Anwar.

Anwar turut memuji Wisma Putra atas prestasi cemerlang, di samping menyatakan bahawa lawatan rasmi ke luar negara telah membawa manfaat nyata kepada negara.

“Wisma Putra ini bukan sahaja mengadakan kunjungan tetapi kunjungan yang memberikan kesan yang lebih manfaat. Yang penting juga adalah memberi ruang dan kesempatan mengangkat martabat Malaysia sebagai negara dagang,” kata beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan Pelan Strategik Kementerian Luar 2026-2030 yang menjadi kerangka panduan bagi penglibatan berterusan Malaysia dengan negara lain, organisasi antarabangsa dan pihak berkepentingan dalam tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan