AM

BELON UDARA MENDARAT DI KAWASAN SAWAH DI ALOR SETAR

23/02/2026 09:06 PM

ALOR SETAR, 23 Feb (Bernama) -- Sebuah belon udara terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan sawah di Kampung Pisang, Kota Sarang Semut, dekat sini, pagi tadi bagi mengelakkannya tersasar ke laut.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira 12.12 tengah hari daripada seorang penduduk kampung yang memaklumkan sebuah belon udara mendarat di kawasan sawah.

“Siasatan mendapati, belon udara itu telah memulakan penerbangan dari Stadium Mini Pendang pada 6.30 pagi dan terbang mengikut arah angin. Bagaimanapun, dua kru yang menerbangkan belon udara itu terpaksa mendarat di kawasan lapang sawah padi bagi mengelakkannya dibawa angin ke arah laut.

“Setelah mendarat, dua kru yang berada di dalam belon udara serta dua lagi kru yang menaiki pacuan empat roda terus mengemas peralatan dan bergerak pulang ke Bertam, Pulau Pinang. Tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kerosakan harta benda berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Basri berkata berdasarkan siasatan, belon udara tersebut milik sebuah pusat peranginan taman tema air dan didapati tidak memperoleh kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Air Traffic Control (ATC) untuk menerbangkan belon udara berkenaan di ruang udara Kedah.

“Mereka hanya mendapat kebenaran untuk berada di ruang udara di kawasan Taiping, Perak sahaja dan kes dirujuk kepada pihak CAAM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Azhar Abu Bakar, 62, dari Kota Sarang Semut berkata ketika kejadian, dia berada di bahagian belakang rumah untuk melihat sawah padi miliknya sebelum seorang rakan menunjuk ke arah belon udara yang sedang terbang rendah di kawasan berkenaan.

“Saya nampak belon udara itu datang dari arah Pendang dan pada awalnya saya ingat ia hendak mendarat di kawasan padang sekolah di situ kerana belon udara itu memang sudah terbang rendah, tetapi ia naik semula.

“Saya boleh dengar mereka lepaskan gas belon udara dan masa itu, memang bimbang kerana ia terbang hampir dengan kabel elektrik terletak di tengah-tengah kawasan sawah. Saya nampak ia mendarat, selepas itu saya bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Dia berkata sebaik tiba di lokasi, beberapa kru belon udara itu sudah mula mengemas dan mengangkat belon udara naik ke atas sebuah pacuan empat roda sebelum bergegas meninggalkan kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan