EKONOMI

RINGGIT BERPOTENSI MENGUKUH SEHINGGA PARAS 3.78 BERBANDING DOLAR AS

23/02/2026 10:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Ringgit berpotensi untuk terus mengukuh sehingga paras 3.78 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan dasar tarif Presiden Donald Trump, dengan tindakan itu dilihat memberi manfaat kepada pasaran yang sedang pesat membangun seperti Malaysia.

Menurut Penyelidikan Pasaran dan Perbendaharaan CIMB, pandangan itu adalah berdasarkan jadual tarif baharu sebanyak 15 peratus yang diumumkan Trump.

Trump mengumumkan tarif itu sejurus selepas Mahkamah Agung AS membatalkan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) pada Jumaat lepas, sekali gus memberi manfaat kepada pasaran yang sedang pesat membangun berbanding negara maju, tambahnya.

Jurang pengeksport antara negara perindustrian Kumpulan 10 (G10) dan ekonomi Asia dijangka mengecil, menurut cabang CIMB itu menerusi laporan penyelidikan yang dikeluarkan hari ini.

Perkara itu merupakan berita baik bagi Malaysia apabila ringgit, yang dibuka pada paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun iaitu 3.8885 berbanding dolar AS hari ini, dijangka terus mengalami pengukuhan.

Bagi kalangan ahli ekonomi, kenaikan ringgit itu akan menyumbang kepada kestabilan ekonomi yang lebih kukuh.

Penyelidikan Pasaran dan Perbendaharaan CIMB menjelaskan jadual tarif baharu AS itu mengecilkan jurang kelebihan prestasi G10 berbanding pengeksport Asia iaitu kini pada 62 mata asas (bps).

Bagaimanapun, jurang perbezaan dalam kelompok pasaran sedang pesat membangun yang mengalami defisit berkembar pula mungkin kekal besar iaitu pada 413 mata asas, tambahnya.

Penggubal dasar juga mungkin membenarkan dolar AS meningkat sedikit untuk menangkis dakwaan AS mengenai ketidakseimbangan akaun semasa.

Penumpuan itu boleh terus menyokong pengukuhan ringgit dengan paras sasaran 3.78, selain itu unjuran yang disemak pula menunjukkan kenaikan tambahan antara satu hingga dua peratus, menurutnya.

Ketidaktentuan baharu berkaitan dengan kadar tarif mengukuhkan pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) tahun lepas pada 2.75 peratus, jelasnya dalam nota penyelidikan itu.

Pada peringkat itu, sebarang kemungkinan rangsangan kepada pertumbuhan eksport susulan kadar tarif efektif yang lebih rendah pula adalah kecil manakala risiko sampingan daripada kemungkinan tarif Seksyen 232 yang lebih tinggi dikenakan ke atas produk seperti semikonduktor perlu diberi perhatian memandangkan boleh menjadi faktor penekan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan