KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kerajaan mengehadkan kemasukan pusat data baharu yang tiada kaitan dengan kecerdasan buatan (AI) sejak hampir dua tahun lepas bagi mengurangkan tekanan terhadap grid tenaga dan bekalan air negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengakui terdapat lonjakan penggunaan tenaga dan air berikutan operasi pusat data, beliau bagaimanapun berkata unjuran menunjukkan Malaysia ketika ini masih mempunyai keupayaan untuk memastikan bekalan mencukupi.
“Kita telah mengehadkan kemasukan pusat data yang baharu yang tidak ada kaitan dengan AI. Kalau ada manfaat dari sudut penambahan teknologi tinggi dan AI, itu mudah diluluskan.
“Jadi, semua permohonan baharu yang tidak ada kaitan … sudah pun dihentikan,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berhubung kecekapan tenaga pusat data di Malaysia dan langkah kerajaan bagi memastikan kemasukan pelaburan pusat data secara besar-besaran tidak akan menyebabkan kenaikan tarif elektrik atau mengganggu bekalan pengguna domestik.
Menjelas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi jangka masa panjang, pelbagai usaha akan dilaksanakan termasuk memanfaatkan Grid Tenaga ASEAN dan rancangan penyaluran bekalan dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia.
“Grid Tenaga ASEAN sedang diselenggara dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia hingga Singapura dan juga rencana mendapatkan tenaga dari Sarawak ke Semenanjung dan Singapura,” kata beliau.
Sementara itu, menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) berhubung langkah dalam Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI bagi menangani isu hak cipta dan harta intelek, Anwar berkata penggubalan RUU berkenaan akan memberikan penekanan khusus terhadap pertimbangan etika, hak rakyat serta risiko yang mungkin timbul.
Beliau berkata perkara itu berbeza dengan pendekatan yang diamalkan di Barat ketika ini yang lebih menumpukan kepada perincian dari aspek undang-undang, manakala aspek akhlak dan moral tidak diberi keutamaan.
RUU berkenaan juga akan mengambil kira AI Risk and Classification Framework, iaitu pendekatan berasaskan klasifikasi risiko termasuk mekanisme pelaporan kemudaratan dan insiden bagi memastikan penggunaan teknologi itu tidak mengetepikan pertimbangan etika.
Anwar berkata pendekatan itu turut merangkumi aspek pelaporan kemudaratan dan insiden AI bagi memastikan sebarang risiko dapat dipantau dan ditangani secara sistematik.
RUU itu kini, katanya masih pada peringkat awal penggubalan di Kementerian Digital dan akan melalui proses libat urus termasuk penelitian jawatankuasa khas Parlimen sebelum dimuktamadkan.
Beliau berkata RUU itu penting bagi kerangka tadbir urus komprehensif yang meliputi keseluruhan kitaran hayat sistem AI termasuklah pembangunan, latihan, pelaksanaan, pemantauan serta pengurusan risiko.
"Ini merupakan suatu pendekatan dan ikhtiar baharu bagi negara dan kebanyakan negara. Ia juga akan memperincikan isu pertanggungjawaban, isu etika dalam penggunaan dan melibatkan juga pembangun dan pelaksanaan sistem AI.
"Oleh sebab RUU ini merupakan satu pendekatan dan ikhtiar baharu, ia juga memastikan bahawa undang-undang yang ada sekarang harus terpakai dan boleh dilaksanakan," kata beliau.
Pada masa sama, kata Anwar, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) juga perlu berkeupayaan memastikan pelaksanaan undang-undang berkaitan dengan berkesan, termasuk dalam konteks bahan yang digunakan sebagai input untuk melatih sistem AI serta hasil atau output yang dijana daripadanya.
Beliau berkata perlindungan terhadap input dan output sistem AI telah diperuntukkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan perlu dikuatkuasakan secara lebih berkesan.
-- BERNAMA
