KOTA BHARU, 25 Feb (Bernama) – TikTok Shop LIVE Hub secara rasminya telah dibuka di Kota Bharu, Kelantan, hasil kolaborasi strategik antara TikTok Shop dan TEKUN Nasional untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) tempatan. Pelancaran ini merupakan TikTok Shop LIVE Hub keempat di Malaysia, menyusuli kejayaan di Sabah, Kuala Lumpur, dan Johor.
Nur Azre Abdul Aziz, Pengarah Kanan Kerjasama Strategik, TikTok Shop Malaysia, berkata: "Pelancaran hab di Kelantan ini memperkukuh komitmen kami dalam membina ekosistem digital yang inklusif melalui pelaburan hampir RM3 juta kami yang diperuntukkan sejak tahun lalu untuk pembangunan TikTok Shop LIVE Hub di enam buah negeri di sekitar Malaysia. Kami amat menghargai sokongan TEKUN Nasional yang membolehkan kami menyediakan infrastruktur Shoppertainment bagi membantu PMKS menguasai kraf penstriman langsung."
Datuk Adam bin Abd Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, TEKUN Nasional, menambah bahawa: "Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan ruang fizikal, malah merupakan kerjasama strategik untuk memastikan usahawan tempatan mampu menghasilkan kandungan yang kompetitif dan memacu impak ekonomi yang nyata. Kerjasama erat dengan TikTok Shop ini kritikal untuk memastikan PMKS Kelantan tidak ketinggalan dalam arus perdana ekonomi digital. Kami yakin bahawa ekosistem TikTok Shop yang inklusif akan terus memacu pertumbuhan mampan bagi usahawan tempatan dan membolehkan mereka membina jenama yang kukuh."
TikTok Shop LIVE Hub di Kelantan ini menyediakan akses kepada dua studio serba lengkap dengan peralatan canggih seperti monitor profesional 27-inci beresolusi tinggi, skrin layar hijau (green screen), mikrofon kalis bunyi, serta kemudahan teknologi lain yang menyokong penghasilan kandungan berkualiti tinggi. Usaha ini akan membantu usahawan tempatan menjana pendapatan dan memperkukuh perniagaan dalam talian mereka melalui ekosistem TikTok Shop.
Sesi konsultasi, sokongan teknikal, dan internet berkelajuan tinggi turut disediakan bagi memudahkan akses pendigitalan untuk PMKS tempatan menguasai kemahiran penghasilan kandungan. Perkhidmatan ini direka khusus sebagai pemangkin buat para usahawan di setiap fasa transformasi digital mereka agar lebih mudah ditemui oleh pembeli di seluruh negara.
Seiring dengan pelancaran ini, TikTok Shop dan TEKUN Nasional telah melatih lebih 120 usahawan Kelantan melalui bengkel promosi dan perniagaan dalam talian yang dijalankan baru-baru ini. Hasilnya, usahawan-usahawan yang terlibat berjaya menjana nilai jualan melebihi RM500,000 dalam tempoh tiga bulan susulan daripada program latihan tersebut.
Usahawan dan pencipta kandungan tempatan yang berminat untuk memanfaatkan TikTok Shop LIVE Hub boleh membuat tempahan slot dan mendapatkan maklumat lanjut melalui akaun rasmi @stesenliveiks di TikTok.
-- BERNAMA
(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)
