AM

KILANG PROSES GETAH TERBAKAR DI SENGKANG, DUA SEKOLAH DITUTUP

25/02/2026 03:12 PM

JOHOR BAHRU, 25 Feb (Bernama) -- Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar ditutup hari ini susulan kebakaran sebuah kilang memproses getah di Sengkang dekat Kulai.

Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata dua sekolah tersebut ditutup sementara sebagai langkah keselamatan bagi melindungi pelajar dan warga sekolah.

"Kerja-kerja pemadaman kebakaran (setakat ini) masih giat diteruskan oleh pihak bomba," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Teo turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan orang awam.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Tarmizi Md Jaafar dilaporkan berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.37 petang semalam.

Beliau berkata setakat ini operasi pemadaman masih giat dijalankan dengan 65 peratus kebakaran berjaya dipadamkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dalam hantaran di laman Facebook berkata kerajaan negeri memberi jaminan bahawa keselamatan awam, alam sekitar dan komuniti sekitar sentiasa menjadi keutamaan.

"Siasatan punca kejadian serta penilaian pematuhan operasi premis akan dilaksanakan oleh agensi berkaitan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata premis berlesen bagi aktiviti pemprosesan getah itu diluluskan pada 18 Ogos 2021 dan terletak dalam zon industri mengikut Rancangan Tempatan, selain memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bertarikh 26 Sept 2018.

Setakat tengah hari, operasi pemadaman kini memasuki fasa akhir, dengan anggaran kira-kira 40 peratus kawasan masih dalam proses pemadaman. 

"Saya dimaklumkan bahawa pasukan bomba menghadapi kekangan bekalan buih pemadam kebakaran susulan sifat bahan terbakar. Bagaimanapun, bantuan 25 tong buih itu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diikuti tambahan 30 tong daripada JBPM Putrajaya telah diterima," katanya.

Beliau berkata fokus utama ketika ini adalah pemadaman sisa kebakaran, tompokan bahan mentah getah dan plastik masih aktif, yang memerlukan teknik 'direct attack' menggunakan buih bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya sekali gus mengelakkan nyalaan semula.

Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) juga telah menggerakkan dua traktor pertanian dan dua jengkaut sewaan termasuk kerja-kerja membongkar timbunan sisa kebakaran, bagi memudahkan akses pemadaman.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan