KEKURANGAN PERJAWATAN DALAM SEKTOR PERMUZIUMAN BUKAN PADA TAHAP TERDESAK - YUNESWARAN
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kekurangan perjawatan dalam sektor permuziuman di negara ini bukan pada tahap terdesak sehingga memerlukan penambahan segera, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran.
Beliau berkata jumlah perjawatan diisi ketika ini terdiri daripada individu yang sangat pakar dan terlatih dalam bidang berkaitan sejarah negara, malah turut menerima latihan pada peringkat antarabangsa seperti di Thailand, Singapura dan Amerika Syarikat.
“Dari segi perjawatan, sebanyak 247 jawatan atau 59.7 peratus daripada keseluruhan waran perjawatan JMM yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terdiri daripada Skim Kurator, Penolong Kurator dan Pembantu Muzium.
“Pegawai ini sentiasa diberikan pendedahan melalui latihan serta penempatan berkaitan bidang kuratorial, termasuk penyelidikan, konservasi, pengurusan koleksi, peragaan pameran dan bidang berkaitan lain,” katanya pada sesi soal jawab.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang antara lain ingin tahu jika kerajaan bersedia melaksanakan alternatif untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memperkasakan sektor pengurusan bahan sejarah dan artifak negara.
-- BERNAMA
KPKM TUBUH PASUKAN PETUGAS KHAS TANGANI KEKANGAN EKSPORT IKAN
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menubuhkan pasukan petugas berkaitan pengimportan dan pengeksportan ikan serta hasil ikan bagi menyelaras tindakan antara agensi dan memperkukuh kawal selia industri akuakultur domestik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha itu bagi menangani kekangan eksport ikan ke negara lain khususnya Thailand yang memperkenalkan syarat sanitari dan fitosanitari lebih ketat susulan penemuan pelanggaran had antibiotik.
Beliau berkata sejak 1 Mac 2024, Thailand telah mengetatkan syarat pengimportan ikan siakap sejuk dingin dari Malaysia dan bermula 1 April tahun lepas, semua konsainan tertakluk kepada pemeriksaan ketat termasuk keperluan Sijil Analisa Produk Siap (COA) yang sah.
“Walaupun aktiviti eksport masih dibenarkan, pensampelan semula di pintu masuk dan pematuhan sijil kesihatan bagi sumber tangkapan laut itu telah menjejaskan kelancaran eksport ikan Malaysia ke Thailand,” katanya menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai tindakan kerajaan bagi membolehkan ikan tempatan dieksport ke Thailand.
Dalam masa sama, Mohamad berkata beberapa ladang dan sangkar di Malaysia telah menerima sijil Good Aquaculture Practices (GAP) khusus bagi Ikan siakap termasuk 36 di Pulau Pinang, Perak (tujuh) dan Kedah (tiga) yang diyakini tidak berhadapan masalah eksport ke negara itu.
-- BERNAMA
MASYARAKAT PERLU TERBUKA TERIMA PANDANGAN, TEGURAN MUFTI - MARHAMAH
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Institusi mufti menyampaikan pandangan dan penerangan hukum agama berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab, justeru masyarakat seharusnya bersikap lebih terbuka menerima teguran serta pandangan mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata institusi mufti layak memberi respons terhadap isu tular dan isu semasa yang timbul dalam masyarakat, khususnya berkaitan hukum agama, namun perbezaan penerimaan dalam kalangan masyarakat sering menjadi punca polemik atau dianggap kontroversi.
Dalam masa sama, beliau berkata institusi mufti terus diperkukuh melalui pelbagai pendekatan termasuk pendigitalan akses fatwa dan pandangan hukum bagi memastikan masyarakat memperoleh rujukan yang sahih dan berautoriti menerusi platform digital aplikasi Mufti Care serta kemudahan Pintar Mufti, Bayan Linnas dan Isyarat Hukum di laman sesawang rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Pejabat Mufti turut menerima secara purata antara 250 hingga 300 panggilan telefon serta 200 hingga 250 e-mel setiap bulan berkaitan pertanyaan hukum yang mencerminkan keperluan berterusan masyarakat terhadap khidmat nasihat dan panduan agama secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berhubung penyelarasan ijtihad yang muktamad dan pandangan yang disuarakan oleh golongan mufti bagi mengelakkan polemik.
-- BERNAMA
