KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya berhasrat untuk terus memperkukuh hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia menerusi peningkatan kerjasama dalam beberapa bidang.
Beliau berkata usaha meningkatkan hubungan dua hala sememangnya menjadi matlamat setiap Duta Besar Indonesia yang ditugaskan di negara ini.
“Saya ingin fokus kepada bidang pelaburan, perdagangan dan perlindungan pekerja Indonesia. Perlindungan yang baik kepada pekerja Indonesia akan menyumbang secara positif kepada hubungan dua hala kedua-dua negara,” katanya pada majlis berbuka puasa yang juga pertemuan sulung beliau bersama media di sini pada Selasa.
Pada 2025, Presiden Prabowo Subianto melawat Malaysia sebanyak lima kali, menjadikan negara ini paling kerap dikungjungi pemimpin berkenaan pada tahun lepas.
Menurut Mohammad Iman, media memainkan peranan penting dalam menyumbang secara positif kepada hubungan Indonesia dan Malaysia.
Oleh itu, beliau akan mengekalkan hubungan baik dengan media Malaysia seperti yang dilakukan oleh Datuk Hermono, Duta Besar Indonesia sebelum ini.
Beliau berkata Malaysia adalah penting buat Indonesia kerana selain mempunyai banyak persamaan dari segi bahasa dan adat, terdapat ramai pekerja Indonesia yang mencari rezeki di negara ini untuk menyara keluarga mereka.
Menurut beliau, pergerakan rakyat antara Indonesia dan Malaysia juga adalah tinggi terutamanya bagi tujuan pelancongan.
Menyentuh mengenai ASEAN, Mohammad Iman optimis rantau Asia Tenggara akan kekal aman di tengah-tengah ketidakpastian global, berikutan hubungan yang amat baik dan rapat antara negara anggota.
Duta Besar berkenaan menyerahkan watikah pelantikan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 20 Januari lalu.
-- BERNAMA
