PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) --Seorang bekas pengawal keselamatan hari ini mula menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kerana melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki berusia 12 tahun di tandas sebuah pusat tahfiz, enam tahun lepas.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah memutuskan bahawa Mahkamah Sesyen tidak melakukan sebarang kesilapan dalam keputusannya, yang kemudiannya telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam menolak rayuan Muhammad Juwahir@Juhil, Hakim Azman bersidang bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid memutuskan bahawa kedua-dua sabitan dan hukuman adalah sah dan wajar dikekalkan.
Azman kemudian mengeluarkan waran komital bagi membolehkan Muhammad Juwahir memulakan hukuman penjara serta-merta.
Sebeum ini, tertuduh diberi penangguhan hukuman dan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin semasa menunggu keputusan rayuannya.
Menurut kertas pertuduhan, lelaki berusia 73 tahun itu telah melakukan kesalahan terhadap mangsa di Johor Bahru, Johor, antara pukul 1.40 hingga 2.10 petang pada 2 Feb 2020.
Mangsa, seorang warganegara Singapura, ketika itu sedang mengikuti pengajian di pusat berkenaan.
Pada 22 Jan 2024, Mahkamah Sesyen telah mendapati Muhammad Juwahir@Juhil bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penahanan serta diletakkan di bawah pemantauan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 21 Ogos 2024, selepas itu tertuduh memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Pada prosiding hari ini, Muhammad Juwahir diwakili peguam Izleen Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
