EKONOMI

CBP CATAT UNTUNG BERSIH TAHUN KEWANGAN 2025 NAIK 5.6 PERATUS KEPADA RM131.13 JUTA

25/02/2026 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Co-opbank Pertama Bhd (CBP) mencatat prestasi memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 (TK2025), dengan keuntungan bersihnya meningkat 5.6 peratus kepada RM131.13 juta daripada RM124.20 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata prestasi lebih tinggi itu dipacu oleh perniagaan perbankan, pembiayaan peribadi dan perniagaan ar-Rahnu.

“Jumlah aset CBP turut meningkat 12.8 peratus kepada RM14.48 bilion daripada RM12.84 bilion pada TK2024.

“Dana pemegang saham turut meningkat kepada RM1.94 bilion pada 2025 daripada RM1.92 bilion. Aset pinjaman tidak berbayar (NPL) turut bertambah baik sebanyak 1.68 peratus,” katanya pada sidang media berhubung keputusan kewangan CBP bagi TK2025 hari ini.

Khairil Anuar berkata CBP akan mengumumkan dividen pada Jun 2026, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan dan kelulusan pihak berkuasa.

Dari segi keuntungan dan pendapatan berasaskan yuran, beliau berkata pinjaman gadai janji dan aset perbendaharaan juga menunjukkan prestasi yang baik, dengan jumlah aset perbendaharaan sebanyak RM3 bilion.

Beliau berkata penerbitan sukuk pertama CBP dijangka dilancarkan pada suku kedua 2026, menyasarkan antara RM500 juta hingga RM1 bilion, bergantung kepada keadaan pasaran, permintaan daripada pelabur dan keperluan mudah tunai CBP.

“Penerbitan sukuk itu akan terus membantu meningkatkan kedudukan mudah tunai dan kos dana kami, sekali gus memberikan nisbah pendanaan bersih yang stabil dengan lebih baik lagi,” katanya.

Selain itu, Khairil Anuar berkata bank berkenaan turut mengukuhkan jenamanya dengan memperkenalkan beberapa produk dan perkhidmatan baharu, seperti Auto-i Financing dan Travel Takaful, bagi memperkukuh kedudukannya dalam industri kewangan negara.

“CBP berada pada kedudukan baik untuk terus bersaing dengan institusi kewangan lain dengan menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan pada kadar yang kompetitif,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Khairil Anuar berkata di bawah pelan lima tahun CBP untuk 2026-2030 (F30), bank itu menyasarkan mencapai keuntungan RM141 juta bagi TK2026 dan jumlah aset RM15 bilion, dengan NPL di bawah dua peratus.

“Di bawah pelan F30, tumpuan utama kami masih kepada peruncitan, tetapi kami ingin mengurangkan pendedahan kepada pembiayaan peribadi. Kami mahu bergerak ke bahagian lain dalam perniagaan peruncitan, terutamanya memperluaskan lagi perniagaan emas,” tambahnya.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan