AM

SABAH DIJANGKA ALAMI CUACA LEMBAP LIMA HARI, NRES PERHEBAT PEMANTAUAN - ARTHUR

25/02/2026 09:32 PM

KOTA KINABALU, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memantau secara rapi situasi di Sabah yang dijangka terus mengalami corak cuaca lembap dalam tempoh lima hari akan datang.

Menterinya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata berdasarkan analisis model cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Sabah dijangka menerima pengaruh angin timuran dan baratan yang lemah sepanjang tempoh berkenaan.

“Keadaan ini meningkatkan kelembapan atmosfera dan berpotensi menyebabkan hujan serta ribut petir di beberapa tempat di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Pantai Barat, Arthur berkata hujan dijangka berlaku di perairan Sabah pada sebelah pagi manakala pada sebelah petang hingga malam hujan dan ribut petir berpotensi berlaku di beberapa tempat.

Beliau berkata di  Pedalaman pula, hujan dijangka berlaku pada sebelah pagi di awal dan akhir tempoh ramalan, manakala hujan serta ribut petir pada sebelah petang dan malam.

Beberapa tempat di Sandakan, Tawau dan Kudat juga dijangka mengalami hujan pada waktu pagi, diikuti hujan serta ribut petir pada sebelah petang dan malam sepanjang tempoh ramalan.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya telah mengarahkan MetMalaysia memastikan penyaluran maklumat dan amaran cuaca ini dilakukan secara agresif dan tepat pada waktunya.

“Saya mahu rakyat Sabah mendapat akses kepada data ramalan yang sahih dan terkini supaya sebarang risiko bencana akibat cuaca lembap ini dapat diuruskan dengan lebih berkesan di peringkat komuniti,” katanya.

Beliau meminta seluruh rakyat Sabah supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca mengejut terutama pada waktu petang serta malam dan mendapatkan maklumat terkini berhubung perkara itu menerusi saluran rasmi seperti aplikasi myCuaca, portal www.met.gov.my atau media sosial MetMalaysia untuk  memastikan keselamatan diri dan keluarga.

-- BERNAMA


 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan