AM

66 KELAS PRASEKOLAH DITEMPATKAN DI INSTITUSI PENDIDIKAN, TAMPUNG KEPERLUAN MURID - WONG

25/02/2026 10:15 PM

IPOH, 25 Feb (Bernama) -- Sebanyak 66 kelas prasekolah ditempatkan di institusi pendidikan di bawah selian Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Wong berkata daripada jumlah itu satu di tempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG), empat di Kolej Vokasional, lapan di Matrikulasi dan 53 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Beliau berkata di bawah Kerajaan MADANI, KPM membuat keputusan untuk memperluaskan prasekolah ke institusi yang lain seperti Kolej Vokasional, SMK dan juga IPG.

“Institusi-institusi ini apabila kita sediakan kelas prasekolah juga dapat menampung keperluan untuk sekolah tersebut. 

“Ada anak-anak kepada warga pendidik dan sebagainya ini diberikan satu peluang untuk menikmati atau mengikuti pendidikan prasekolah KPM di institusi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Angpau Tahun 2026 di IPGM Kampus Ipoh, di sini, hari ini.

Wong berkata KPM telah melakukan peluasan sebanyak 150 kelas prasekolah pada tahun lepas dan tahun ini dijangkakan sebanyak 350 kelas prasekolah akan diperluaskan yang melibatkan pelbagai jenis institusi KPM.

Selain itu, beliau berkata pada 2025 KPM telah menampung 220,000 daripada kira-kira 370,000 murid prasekolah, manakala yang lain ditampung oleh pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan juga pihak tadika swasta.

“Apa yang penting JPNIN, Tabika KEMAS dan juga prasekolah di bawah KPM itu adalah di bawah agensi kerajaan dan kementerian. 

“Sudah pasti apabila kita sampai ke tadika swasta ia mengenakan satu yuran tetapi kesemua ini membina dan juga menjadi satu ekosistem pendidikan awal kanak-kanak kita. Apa yang KPM hendak capai adalah kita mahu memperluaskan lagi kelas-kelas prasekolah yang kita ada,” katanya.

Sementara itu berkenaan majlis hari ini, Wong berkata ia merupakan satu program yang memaparkan kekuatan negara, masyarakat majmuk dan berbilang kaum dengan penyertaan daripada warga IPG yang menampilkan pelbagai persembahan antaranya wushu, sketsa serta diabolo.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan