IPOH, 26 Feb (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima zakat berjumlah RM7.87 juta (RM7,874,066.76) daripada tujuh syarikat korporat dan individu persendirian kepada Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di Kuala Kangsar, malam tadi.
ZAPAR memaklumkan penyerahan zakat didahului Jakel Ipoh, Perak yang diwakili Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Jakel Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel berjumlah RM300,000, disusuli Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad diwakili Pengerusinya Mohd Hasrizad Zaman berjumlah RM103,845.30.
Menurut kenyataan itu, turut menyampaikan zakat ialah Menteri Besar Incorporated diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Anuar Zainal Abidin berjumlah RM1,000,000 selain Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azhar Mohd Yusof berjumlah RM4,553,453.46.
Turut menyumbang, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Zulkefli Abdullah berjumlah RM900,000, selain Royale College Of Medicine Perak yang diwakili Dekan Fakulti Perubatan Prof Dr Syed Rahim Syed Hamid berjumlah RM256,769.
Penyerahan zakat perniagaan SS Trend Trading diserahkan oleh Pengasasnya Muhamad Syafi Md Sayuti berjumlah RM159,999 manakala penyerahan zakat yang terakhir merupakan zakat pendapatan dan simpanan oleh Datuk Dr Zakaria A Kadir berjumlah RM600,000.
Menurut kenyataan itu, Sultan Nazrin kemudiannya berkenan menyerahkan zakat kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
"Zakat berperanan sebagai mekanisme agihan kekayaan yang adil serta pemangkin kesejahteraan sosial. Ia bukan sekadar kewajipan, malah instrumen pembangunan ummah yang mampu memperkasakan ekonomi masyarakat secara menyeluruh," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
