SUKAN

GABUNGAN PEMAIN PROFESIONAL, BAM PERKUKUH SKUAD NEGARA KE PIALA THOMAS

26/02/2026 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari yakin kombinasi pemain profesional dan atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu memperkukuh cabaran negara pada kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, hujung April ini.

Beliau berkata kesediaan perseorangan utama negara Lee Zii Jia ke dalam skuad negara mampu menjadi tonik tambahan dalam usaha memburu kejuaraan yang kali terakhir diraih Malaysia pada 1992.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Lee Zii Jia dan pasukan kerana bersetuju untuk bersama-sama kita membawa pulang kegemilangan Piala Thomas yang kali terakhir pada 1992.

"Terima kasih dan penyertaan ini dilakukan atas dasar semangat cinta akan negara, atas dasar semangat untuk memberikan yang terbaik untuk negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran My Athlete Center di Pavilion Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini. 

Zii Jia baru-baru ini mengesahkan kesediaannya membantu Malaysia dalam kempen Piala Thomas 2026 tanpa mengemukakan sebarang tuntutan kepada BAM.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan