AM

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN NEGARA: 26 FEB

26/02/2026 08:43 PM

DENDA LAD DIKENAKAN TERHADAP KONTRAKTOR GAGAL SIAP PROJEK PEMBERIAN KHAS

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan mengenakan denda Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) bagi setiap hari kelewatan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek di bawah pemberian khas kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata kerajaan juga akan menamatkan kontrak serta menyenaraihitamkan syarikat terlibat daripada memperoleh projek kerajaan pada masa hadapan.

Selain itu, beliau berkata projek-projek juga tertakluk kepada audit oleh Jabatan Audit Negara, manakala sebarang unsur salah laku boleh disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kerajaan mengamalkan prinsip tadbir urus baik serta sifar toleransi terhadap rasuah dan salah urus. Sekiranya terdapat ruang penambahbaikan, kerajaan sentiasa terbuka untuk menambah baik mekanisme pemantauan dan pelaporan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Mustapha menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Patrick Insol yang ingin tahu langkah pemantauan terhadap projek-projek binaan di bawah pemberian khas kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

-- BERNAMA 

 

KERAJAAN TUBUH JAWATANKUASA KHAS PANTAU TRANSFORMASI WARISAN KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Transformasi Warisan Kuala Lumpur bagi memastikan pelaksanaan projek pemuliharaan bangunan bersejarah di ibu kota berjalan secara terancang, bersepadu dan berintegriti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui berkata jawatankuasa dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berperanan memantau hala tuju, dasar serta penjajaran pelaksanaan projek warisan berkenaan agar selari dengan aspirasi pembangunan bandar raya.

Beliau berkata pada peringkat pelaksanaan, satu jawatankuasa kerja diketuai Datuk Bandar Kuala Lumpur akan menyelaras kerjasama antara kementerian, agensi serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan aset sejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) terus berfungsi sebagai identiti nasional yang hidup serta dimanfaatkan masyarakat.

Selain BSAS, katanya, transformasi itu turut melibatkan aset warisan lain di bawah seliaan Khazanah Nasional Berhad, termasuk kerja pemuliharaan lapan bangunan warisan utama seperti Bangunan Pejabat Pos Besar Lama, Panggung Bandaraya dan kawasan Bukit Carcosa Seri Negara, dengan setiap pembangunan dilaksanakan mengikut Garis Panduan Reka Bentuk Bandar bagi memastikan nilai estetika dan sejarah setiap struktur terpelihara.

Lo berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Senator Dr Jufitri Joha yang ingin mengetahui mekanisme pemantauan serta pendekatan kerajaan dalam memastikan usaha transformasi warisan di Kuala Lumpur dilaksanakan secara mampan tanpa menjejaskan nilai sejarah dan identiti asal bangunan terlibat.

-- BERNAMA

 

KERAJAAN SEDIA PERKASA KRT DI KAMPUNG ORANG ASLI

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan bersedia memperluas pelaksanaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) termasuk di kampung Orang Asli, tertakluk kepada permohonan dan keperluan komuniti setempat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata hingga kini, sebanyak 8,603 KRT telah ditubuhkan di seluruh negara, termasuk 16 di kampung Orang Asli.

"Penubuhan KRT berasaskan permintaan komuniti serta tertakluk kepada kriteria ditetapkan, dengan hampir 100 KRT baharu ditubuhkan setiap tahun dan digerakkan berlandaskan semangat kesukarelawanan," katanya menjawab pertanyaan Senator Shahrol Wizan Sulong yang ingin tahu persediaan memperluas pelaksanaan KRT di kampung Orang Asli.

Yuneswaran berkata kerajaan memperuntukkan geran tahunan RM6,000 kepada setiap KRT aktif bagi pengurusan dan pelaksanaan program, yang menyaksikan 101,157 aktiviti dilaksanakan tahun lepas meliputi aspek ekonomi, kebajikan, pendidikan, keharmonian antara agama dan keselamatan.

Selain itu, katanya, tambahan RM5 juta diperuntukkan oleh kerajaan tahun ini bagi inisiatif KRT Progresif untuk membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan komuniti.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan