EKONOMI

PELABURAN GOOGLE US$2 BILION MELEBIHI JANGKAAN AWAL, BERJALAN LANCAR - PM ANWAR

26/02/2026 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pelaburan Google sebanyak US$2 bilion (US$1 = RM3.90) di Malaysia menunjukkan kemajuan yang pesat dan melebihi jangkaan awal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata demikian dalam catatan di laman Facebook selepas mengadakan sidang video bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat serta pasukannya pagi ini.

“Saya memberi jaminan kepada mereka bahawa kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara dan menyokong pelaburan yang telah diumumkan oleh syarikat teknologi multinasional itu,” kata beliau.

Beliau berkata perbincangan itu tertumpu pada kemajuan pelaburan Google sebanyak US$2 bilion di Malaysia, yang telah diumumkan pada Mei 2024.

Anwar berkata pelaburan itu mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital Malaysia dan sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan negara sebagai hab serantau untuk aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).

“Pelaburan ini meliputi pembangunan dan operasi pusat data dan infrastruktur perkhidmatan awan pertama Google di Malaysia.

“Apabila beroperasi, ia dijangka menjana impak ekonomi sebanyak US$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030,” kata beliau.

Pada 2024, Google mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM9.4 bilion di Malaysia merangkumi pembangunan pusat data pertamanya dan wilayah Google Cloud untuk memenuhi permintaan meningkat terhadap perkhidmatan awan pada peringkat tempatan dan global serta program literasi AI untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan