EKONOMI

DRB-HICOM CATAT UNTUNG BERSIH LEBIH TINGGI KEPADA RM397.97 JUTA BAGI TAHUN KEWANGAN 2025

26/02/2026 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Konglomerat DRB-HICOM Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM397.97 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 daripada RM22.55 juta bagi tahun kewangan sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata peningkatan ini dipacu oleh pengiktirafan aset tidak ketara negatif sebanyak RM334.42 juta hasil daripada pengambilalihan CTRM AeroSystems Sdn Bhd yang dilaporkan di bawah segmen mobiliti.

"Prestasi itu juga disokong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen perbankan dan hartanah," katanya.

Syarikat juga melaporkan perolehannya meningkat kepada RM17.31 bilion dalam tahun kewangan 2025 daripada RM16.19 bilion dalam tahun kewangan 2024, dipacu oleh sumbangan yang lebih kukuh dari semua segmen perniagaan.

DRB-HICOM terlibat dalam enam perniagaan teras iaitu automotif, aeroangkasa dan pertahanan, pos, perbankan, perkhidmatan serta hartanah.

Pada suku keempat tahun kewangan 2025, syarikat kembali mencatatkan keuntungan dengan keuntungan bersih sebanyak RM337.36 juta daripada kerugian bersih RM46.62 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024 manakala perolehan berkembang kepada RM4.57 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2025 daripada RM3.97 bilion sebelumnya.

Mengenai prospek, konglomerat itu berkata ia akan terus memajukan digitalisasi, meningkatkan kecekapan operasi dan memacu prestasi di semua segmen dengan mewujudkan platform yang lebih berdaya tahan untuk pertumbuhan mampan serta peluang masa hadapan.

"Penyelesaian pengambilalihan CTRM AeroSystems akan terus memperkukuh segmen mobiliti kumpulan selain memperkukuh kedudukannya sebagai pembekal tahap satu dalam rantaian bekalan aeroangkasa global.

"Kumpulan menjangkakan prospek yang sederhana bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan