AM

LAZADA MALAYSIA TUMPU STRATEGI KEPERCAYAAN BAGI PROMOSI MEMBELI BELAH 2026

26/02/2026 10:05 PM

PETALING JAYA, 26 Feb 26 (Bernama) -- Aktiviti membeli-belah dalam talian Malaysia terus berkembang pesat, namun dengan banyak pilihan yang tersedia, pengguna semakin bijak dalam memilih platform yang dipercayai, produk asli dan suara yang boleh dipercayai untuk diikuti, menurut Lazada Malaysia.

Susulan perubahan trend ini, Lazada Malaysia berkata ia sedang mengukuhkan strategi promosinya bagi 2026 untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih selamat, menyeronokkan dan dan diyakini, beralih daripada promosi tawaran hebat seperti kebiasaan sebelum ini. 

Komitmen baharu platform itu diberi penekanan pada majlis "Gongxi Raya, Kongsi Sukses" yang diadakan, di sini, hari ini, disertai usahawan tempatan, rakan jenama dan kira-kira 100 pencipta digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin berkata fokus platform itu untuk kempen 3.3 yang akan datang bukan sekadar jualan untuk menunjukkan rasa tanggungjawab bersama, tetapi juga hasrat untuk mendukung komitmennya terhadap kepercayaan, keaslian dan keyakinan sepanjang tahun 2026.

“Kempen mega akan sentiasa menjadi sebahagian daripada apa yang kami lakukan, tetapi apa yang sama pentingnya ialah memastikan setiap pembelian di Lazada memberi keyakinan kepada pengguna. Kami mahu rakyat Malaysia berasa yakin bahawa mereka membeli dari kedai yang betul dan memilih produk yang asli,” katanya pada majlis itu, di sini, hari ini.

Acara itu turut menampilkan sesi perbincangan seakan rancangan bual bicara bersama pengamal dan wakil jenama tentang bagaimana kepercayaan dan keaslian dibina dalam landskap digital masa kini.

Menyedari cabaran penipuan, peniruan dan produk tiruan, Qin berkata Lazada memberi tumpuan sepenuhnya pada LazMall, yang menjamin 100 peratus keaslian, komitmen yang bukan sahaja dihargai oleh jenama tetapi juga oleh pengguna.

“Selain keaslian, Lazada juga menyediakan ketelusan melalui maklumat penjual yang disahkan, ulasan pelanggan dan penilaian,” katanya.

Beliau berkata pelanggan juga boleh bergantung pada sokongan selepas jualan yang padu, termasuk pemulangan dan bayaran balik yang mudah, memastikan pengalaman membeli-belah komprehensif yang dibina atas asas kepercayaan.

Semua inisiatif ini adalah persediaan bagi jualan Riang Bersama 3.3 Lazada Malaysia akan datang, yang akan menampilkan tawaran sehingga 90 peratus, Tawaran Mengejut daripada RM3 dan ganjaran istimewa untuk pembeli sepanjang kempen.

--BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan