BUKIT MERTAJAM, 27 Feb (Bernama) -- Program Harapan Ramadan anjuran CIMB Islamic Bank Berhad dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 24,000 isi rumah di seluruh negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata daripada jumlah itu, RM45,000 diperuntukkan bagi Pulau Pinang untuk diagihkan dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan barangan makanan lain kepada 300 guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini sebagai persiapan menyambut Ramadan.
“Kita berharap ia dapat membantu meringankan beban guru di SAR serta keluarga mereka supaya dapat menyambut dan melaksanakan ibadah puasa dengan lebih bermakna.
“Di Pulau Pinang kita pilih guru SAR untuk menerima sumbangan tersebut manakala kategori penerima di negeri lain berbeza mengikut keperluan setempat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Program Harapan Ramadan CIMB Islamic 2026 Bersama Pimpinan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua YADIM Prof Madya Dr Adi Anuar bin Azmin @Che Wan, Pengarah YADIM Pulau Pinang Mohammad Fadzil Alias dan Pegawai Khas Perdana Menteri Zainol Saad.
Sementara itu, penerima sumbangan Mohamad Hamzan Hamid, 42, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diterima dan menyifatkannya sebagai amat bermakna dalam meringankan beban warga sekolah.
"Alhamdulillah dengan adanya program yang memberikan sumbangan kepada kami, saya berasa berbesar hati atas keprihatinan pihak CIMB Bank yang tampil memberikan bantuan dan meringankan beban kami," kata guru yang mengajar di SAR Al-Ikram Tok Bedu, Tasek Gelugor itu.
Seorang lagi guru, Rozaina Abdul Rahman, 52, yang mengajar di sekolah sama, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan diterima kerana memberikan sedikit kelegaan kepada kalangan guru.
“Sebelum ini kami terima bantuan tahunan daripada kerajaan negeri dan sumbangan daripada institusi perbankan seperti ini amat dihargai kerana menunjukkan keprihatinan sektor korporat terhadap kebajikan warga pendidik," katanya.
-- BERNAMA
