AM

MALAYSIA DI LANDASAN KUKUH BAWAH KERANGKA MADANI - NGA

28/02/2026 07:08 PM

IPOH, 28 Feb (Bernama) -- Malaysia kini berada di landasan yang kukuh di bawah Kerangka MADANI dengan mencatatkan pelbagai pencapaian ekonomi serta pelaksanaan langkah reformasi di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga berkata perkembangan positif itu merangkumi peningkatan pelaburan asing dan pencapaian nilai perdagangan tertinggi dalam sejarah negara sebanyak RM3.05 trilion.

“Prestasi ringgit kini menjadi mata wang terbaik di Asia. Nilai ringgit telah meningkat daripada 4.80 kepada 3.88 berbanding dolar Amerika Syarikat dan berbanding yen Jepun telah meningkat dari 27 menjadi 39.5 yen, manakala jika dibanding dengan rupiah Indonesia, telah meningkat dari 3,000 menjadi 4,300,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam DAP Ipoh Timor sempena Tahun Baharu Cina yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung semalam. Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kutipan derma Ipoh Timor berjumlah RM33,520.

Mengulas kedudukan daya saing negara, Nga berkata kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia melonjak daripada tangga ke-34 kepada ke-23, sekali gus meletakkan negara sebagai antara yang mencatatkan kemajuan tertinggi di peringkat global.

“Pencapaian-pencapaian ini jelas menunjukkan Malaysia kini berada di landasan yang kukuh. Jadi, saya menyeru kepada rakyat agar terus mengekalkan momentum pertumbuhan dan reformasi yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Nga yang juga Timbalan Pengerusi DAP berkata Kerajaan MADANI kekal komited melaksanakan reformasi institusi termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi memperkukuh akauntabiliti dan integriti dalam sistem pentadbiran negara.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan turut berjaya meluluskan pindaan perlembagaan bagi memperuntukkan hak sama rata kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar Persekutuan oleh ibu warganegara Malaysia untuk memperoleh kewarganegaraan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan