AM

MTD PROPERTIES TERUSKAN TRADISI SANTUNI MASYARAKAT MENERUSI Q'ASEH RAMADAN

28/02/2026 11:26 PM

MELAKA, 28 Feb (Bernama) -- MTD Properties meneruskan komitmen dalam memperkasa pembangunan komuniti dengan penganjuran program Q’aseh Ramadan bersama penduduk Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTD Reime Rizal Abdul Aziz berkata program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), yang mencerminkan falsafah pembangunan syarikat itu.

Beliau berkata sebagai syarikat yang telah bertapak lebih 35 tahun dalam industri dan membangunkan Taman Tasik Utama, tanggungjawab MTD Properties tidak terhenti pada pembinaan rumah semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap pembinaan kehidupan dan pengukuhan komuniti.

“Program ini bukan sekadar pemberian bubur lambuk atau sumbangan bermusim, sebaliknya menekankan kehadiran fizikal pihak pengurusan dan kakitangan bagi merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.

“Selepas 35 tahun, kami masih bersama komuniti kerana kami mahu terus berhubung dan memastikan hubungan ini kekal erat, bukan hanya hadir untuk menyerahkan sumbangan dan kemudian beredar,” katanya selepas merasmikan Program CSR Q'aseh Ramadan MTD Properties di Masjid Taman Tasik Utama di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD Dr Nik Fauzan Nik Faizul dan Pengerusi Masjid Taman Tasik Utama Noor Fadhil Noor Muhammad. 

Reime Rizal berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama Masjid Taman Tasik Utama itu diisi dengan aktiviti gotong-royong penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, pemberian duit raya kepada 84 anak yatim dan golongan asnaf, sumbangan kepada pihak masjid serta majlis iftar bersama komuniti.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja menyemarakkan ketibaan Ramadan, malah sebahagian daripada usaha syarikat yang mahu membuka ruang interaksi lebih erat antara warga kerja syarikat dan penduduk setempat.

Menurut Reime Rizal, Program Q’aseh Ramadan sebelum ini turut dilaksanakan di Taman Sutera, Kajang sebagai kesinambungan usaha syarikat mendekati komuniti di setiap kawasan pembangunan.

“Ini bukan perkara baharu, cuma kami memperkukuh dan menghidupkan semula semangat dan tradisi yang dilakukan oleh pengasas syarikat Allahyarham Tan Sri Dr Nik Hussain Abdul Rahman kerana cara terbaik meneruskan hubungan dengan masyarakat ialah dengan turun padang, mendengar dan bersama mereka,” katanya. 

Dalam pada itu, Noor Fadhil berkata pihaknya berbesar hati dengan program yang julung-julung kali dianjurkan bersama MTD Properties dalam usaha menyantuni masyarakat setempat khususnya menjelang hari lebaran. 

“Kami harap pada tahun-tahun mendatang akan ada majlis sebegini lagi untuk meraikan anak yatim dan asnaf, yang akan menarik lebih banyak syarikat lain. Ini adalah kerana program sebegini penting dalam penyatuan ummah yang mendekatkan jemaah dan penduduk sekitar masjid,” katanya.

Selepas lebih tiga dekad beroperasi, MTD Properties konsisten mengintegrasikan elemen tanggungjawab sosial dalam setiap pembangunan yang dilaksanakan bagi memastikan pertumbuhan fizikal bergerak seiring dengan pengukuhan nilai komuniti dan kesejahteraan sosial.

Komitmen syarikat dalam segmen perumahan mampu milik turut mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan serantau apabila dinobatkan sebagai pemenang Best Affordable Homes Developer oleh PropertyGuru Asia Property Awards Malaysia 2025 di Kuala Lumpur serta Best Affordable Residential Developer (Asia) oleh PropertyGuru Asia Awards 2025 di Bangkok.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan