MACHANG, 1 Mac (Bernama) -- Bertahun-tahun hidup tanpa dokumen pengenalan diri rasmi, sebuah keluarga sembilan beranak di sini akhirnya mampu menarik nafas lega apabila menerima MyKad dan sijil kelahiran masing-masing, sekali gus membuka pintu kepada hak asas yang sepatutnya mereka nikmati sebagai warganegara Malaysia seperti pendidikan, rawatan kesihatan dan bantuan kerajaan lain.
Keluarga berkenaan terdiri daripada lima beradik iaitu Norafida Muhamad, 44; Rosniza Muhamad, 41; Suhaimi Muhamad, 39; Mohamad Lazim Muhamad, 37; dan Nor Fauziah, 32, serta empat anak Nor Fauziah, Nor Suhana Abdullah, 18; Asyraf Abdullah, 16; Adam Daniel, 13; dan Siti Nor Aishah Karina, berusia tujuh tahun.
Nor Fauziah berkata ketiadaan dokumen tersebut menyebabkan kehidupan mereka serba terbatas, termasuk tidak layak menerima bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta menyukarkan anak-anak mengikuti pendidikan formal.
“Sudah lama kami teringin membeli barang dapur menggunakan bantuan SARA, tetapi tiada kad pengenalan. Kami hanya berdoa dan bersabar. Sekarang apabila sudah ada MyKad, kami mahu gunakan peluang ini sebaiknya,” katanya kepada pemberita selepas Program Mekar di Kampung Simpul Belubang, di sini, malam tadi.
Kesemua mereka menerima MyKad dan sijil kelahiran masing-masing pada program tersebut yang diserahkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Nor Fauziah berkata keutamaan kini ialah memastikan anak-anak yang tercicir dari segi pendidikan dapat mengikuti latihan kemahiran berdasarkan minat masing-masing supaya masa depan mereka lebih terjamin.
Ibu tunggal itu yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai makan di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Kelantan, kini menumpang di rumah kakaknya di Besut, Terengganu, sambil mengusahakan jualan ikan kering serta keropok secara kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan.
Dia berkata kesukaran mendapatkan dokumen pengenalan diri berpunca daripada masalah keluarga yang menyebabkan permohonan pendaftaran kelahiran gagal berulang kali sebelum kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia.
Sementara itu, anak kedua Nur Fauziah, Asyraf berkata kehidupan tanpa kad pengenalan menyukarkan urusan harian termasuk mendapatkan rawatan kesihatan dan peluang pekerjaan.
“Sekarang sudah ada MyKad, saya rasa gembira dan lebih yakin untuk mencari kerja mengikut kemampuan. Saya juga mahu membantu keluarga dengan berniaga kecil-kecilan,” katanya.
Sementara itu, kes sembilan beranak berkenaan diselesaikan menerusi Program Mekar anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, susulan rujukan daripada program Kaunter Lorong di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.
Hasil semakan dan siasatan JPN mendapati keluarga berkenaan memenuhi syarat pendaftaran di bawah peruntukan undang-undang selepas punca keciciran dikenal pasti akibat masalah keluarga dan kerap berpindah.
-- BERNAMA
