ALOR SETAR, 1 Mac (Bernama) -- Sebanyak 112 kompaun bernilai RM14,000 dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, hasil pemeriksaan di bazar Ramadan seluruh negeri ini setakat 26 Feb lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Mejar (B) Mansor Zakaria berkata operasi itu melibatkan pemeriksaan di 80 tapak bazar Ramadan bagi memastikan pengendali makanan mematuhi piawaian keselamatan makanan ditetapkan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati tiga peratus pengendali makanan tidak mempunyai suntikan antitifoid, manakala 10 peratus lagi tidak menghadiri latihan pengendali makanan seperti yang diwajibkan.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan tahap pematuhan dalam kalangan pengendali makanan berbanding tahun lepas apabila pemeriksaan mendapati 10 peratus pengendali makanan tidak mempunyai suntikan antitifoid dan 15 peratus tidak menghadiri latihan pengendali makanan.
“Tindakan penguatkuasaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri bagi memastikan makanan dijual adalah selamat, bersih dan berkualiti,” katanya selepas merasmikan program “Kick-off Kedah” Ke Arah Bebas Keracunan Makanan di bawah Inisiatif Makanan Selamat Warisan Kedah di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman di sini, semalam.
Mansor berkata pada tahun ini, 6,768 gerai beroperasi di 80 tapak bazar Ramadan di seluruh Kedah, berbanding 7,240 gerai di 87 tapak bazar pada tahun lepas.
Beliau berkata pada tahun lepas juga sebanyak 185 kompaun dengan nilai keseluruhan RM21,750 telah dikeluarkan kepada peniaga atas pelbagai kesalahan.
Selain itu, beliau berkata 22 daripada 123 sampel makanan yang dihantar untuk analisis makmal pada 2025 didapati melanggar piawaian dari segi pencemaran mikrobiologi.
“Orang ramai dinasihatkan agar mengamalkan konsep ‘perhati dan pilih’ ketika membeli makanan serta menggunakan kaedah ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum menikmati makanan bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan,” katanya.
Mansor berharap sasaran kerajaan negeri ke arah bebas keracunan makanan menjelang 2030 dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak termasuk peniaga, pengguna serta agensi penguat kuasa.
-- BERNAMA
