AM

HINA ISLAM: JANGAN BERTINDAK SENDIRI, SERAH SIASATAN KEPADA PDRM - YADIM

01/03/2026 01:36 PM

PUTRAJAYA, 1 Mac (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru masyarakat untuk meletakkan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan siasatan berhubung insiden memijak al-Quran yang tular di media sosial baru-baru ini.

Yang Dipertua YADIM Datuk Dr Hasan Bahrom berkata YADIM menghargai tindakan pantas kerajaan dan pihak berkuasa dalam menangani insiden berkenaan mengikut tatacara dan prosedur ditetapkan, sekali gus membuktikan komitmen dalam mempertahankan kesucian agama Islam.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru masyarakat untuk kekal menghormati proses undang-undang yang ada di dalam negara ini serta tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengeruhkan keadaan atau mengganggu gugat siasatan PDRM. 

“Kita tidak boleh mengambil tindakan semberono mengikut hawa nafsu dan keinginan kita. Apa gunanya ada undang-undang kalau kita tidak mengikuti peraturan dan prosedur undang-undang?

“Jadi, saya merakamkan terima kasih kepada kerajaan atas tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa secara cepat, pantas dan tuntas,” katanya ketika menjadi tetamu segmen Reaksi bertajuk "Insiden Pijak al-Quran" yang disiarkan Bernama Radio hari ini. 

Hasan mengakui tindakan memijak al-Quran ialah satu perbuatan melampau dan tindakan semaksimum mungkin perlu dikenakan terhadap pelaku bagi membolehkan ia menjadi satu teladan kepada semua masyarakat di negara ini.

“Perbuatan itu melampau, malahan boleh kita sebutkan sebagai satu kebiadaban kepada agama yang lain, sedangkan kita harus menghormati agama antara satu sama lain.

“Jadi, saya fikir ia mempunyai suatu ketidakwarasan ataupun kekecamukan jiwa yang ada pada diri orang yang melakukan perkara terbabit. Oleh sebab itu, setiap warganegara kena faham dan menghayati sensitiviti orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati masyarakat agar tidak melontarkan komen dan pandangan yang akan mengeruhkan keadaan, terutama di platform media sosial, sebaliknya terus mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Saya berharap agar warganegara tenang dan sabar apabila berdepan dengan suasana yang agak sensitif kerana kes ini telah ditangani dengan baik oleh kerajaan.

“Tidak perlulah kita mengancam dan bertindak di luar daripada batas undang-undang. Sewajarnya, kita saling menghormati antara satu sama lain, wujudkanlah nilai dan penggayaan hidup yang aman dan damai antara kaum, walaupun kita banyak perbezaan,” katanya.

Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran dan setakat semalam, sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata reman terhadap lelaki berumur 21 tahun itu yang tamat semalam disambung hingga 3 Mac ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan