SUKAN

MOTO3: HAKIM DANISH BUKA TIRAI MUSIM 2026 DI TANGGA KE-18

01/03/2026 02:35 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pelumba muda berbakat negara, Muhammad Hakim Danish Ramli menamatkan perlumbaan sulung Moto3 musim 2026 dengan menduduki tempat ke-18 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, hari ini.

Bermula dari petak ke-15, pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu bergelut untuk mencabar kelompok hadapan, sekali gus menyaksikannya melengkapkan perlumbaan 19 pusingan di litar sepanjang 4.554 kilometer tersebut dengan ketinggalan +25.810 saat (s) di belakang juara David Almansa daripada Liqui Moly Dynavolt Intact GP.

Almansa merekodkan 32 minit 14.18s untuk menafikan saingan sengit Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team  yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas dipisahkan dengan perbezaan masa hanya +0.003s dan pelumba Red Bull KTM Tech3, Valentin Perrone melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga (+9.480s).

Almansa kini mengungguli carta kejuaraan dengan 25 mata diikuti Quiles (20 mata), Perrone (16 mata) dan Hakim Danish pula gagal mengutip sebarang mata daripada GP Thailand.

Sementara itu, pelumba remaja negara Qabil Irfan Azlan berjaya meraih kedudukan podium pertamanya musim ini pada perlumbaan kedua pusingan pertama Moto4 Piala Asia 2026 di litar sama.

Qabil Irfan muncul naib juara dengan catatan 26:56.174s di belakang juara Hayato Chishiki dari Jepun (26:53.974s), manakala Bintang Pranata dari Indonesia di tempat ketiga (27:03.698s).

Keputusan tersebut menyaksikan Qabil Irfan menebus kegagalan meraih kedudukan podium pada perlumbaan pertama semalam dengan menamatkan cabaran di tempat keenam (27:04.211s).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan