EKONOMI

FORCE MAJEURE DIJANGKA TIDAK DIISYTIHARKAN WALAUPUN PERGERAKAN KAPAL DI SELAT HORMUZ TERGANGGU - PENGANALISIS

01/03/2026 05:56 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Syarikat minyak negara Teluk dijangka tidak mengisytiharkan ‘force majeure’ awal dalam persekitaran risiko geopolitik yang meningkat di Timur Tengah susulan laporan gangguan pergerakan kapal di Selat Hormuz, kata Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes.

Beliau berkata langkah sedemikian biasanya memerlukan ketidakupayaan yang jelas untuk melaksanakan obligasi kontrak dan syarikat minyak negara Teluk lebih cenderung untuk menguruskan pengesahan penghantaran serta melaraskan logistik terlebih dahulu.

Katanya gangguan di Selat Hormuz tidak akan mencetuskan pengisytiharan ‘force majeure’ secara automatik.

‘Force majeure’ dalam industri minyak dan gas ialah satu peruntukan kontrak yang melepaskan pihak berkenaan daripada melaksanakan kewajipan seperti pembekalan atau penerokaan berikutan kejadian luar jangka dan di luar kawalan termasuk bencana alam, peperangan, pandemik atau tindakan kerajaan yang menjadikan pelaksanaan kontrak itu mustahil.

Ia memerlukan klausa khusus, makluman tepat pada masanya dan pematuhan yang ketat, tidak terpakai kepada masalah ekonomi semata-mata atau pasaran lembap.

Ia bergantung pada terma kontrak dan struktur penghantaran. Bagaimanapun, jika laluan eksport terjejas dengan ketara walaupun pengeluaran huluan masih utuh, ini merupakan asas perundangan yang kukuh untuk pengisytiharan ‘force majeure’.

“Secara ringkasnya, pasaran kini menilai risiko transit berbanding kerugian pengeluaran yang disahkan. Jika aliran berterusan, turun naik pasaran akan menjadi sederhana.

“Jika transit terganggu, perubahan harga akan berlaku dengan cepat berikutan selat itu memberi impak yang besar kepada keseluruhan sistem,” katanya kepada Bernama.

Pergerakan kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz perlahan dengan ketara berikutan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, dengan laporan berita menggambarkan laluan kapal utama itu sebagai hampir tidak dapat digunakan.

Kira-kira satu perlima daripada minyak dan gas asli cecair global melalui selat itu setiap hari, bernilai lebih US$1.3 bilion (US$1 = RM3.89), termasuk eksport Iran.

 

Premium risiko perang dan kadar pengangkutan lebih tinggi mengekang aliran kewangan

Innes berkata walaupun Selat Hormuz, dari segi teknikal masih boleh dilalui, premium risiko perang, kadar pengangkutan yang lebih tinggi dan potensi pengeluaran insurans boleh mengehadkan pergerakan kapal.

“Dalam situasi sebelum ini, syarat insurans menjadi lebih ketat sebelum infrastruktur mengalami kerosakan. Industri sering memberi perhatian kepada faktor insurans dan komersial sama seperti risiko fizikal secara langsung,” katanya.

Mengenai risiko kepada gangguan minyak mentah Iran, Innes berkata kilang penapis bebas China yang paling terdedah secara langsung berikutan mereka menerima sebahagian besar eksport Iran, selalunya melalui saluran perdagangan tidak langsung.

Beliau berkata gangguan akan menyebabkan ketersediaan bahan mentah terjejas untuk segmen tersebut.

Pada masa yang sama, katanya pasaran Asia akan menerima impaknya melalui harga yang lebih tinggi berbanding kekurangan bekalan secara serta-merta.

 

Saluran paip minyak berbanding pengangkutan laut 

Ditanya sama ada kaedah melalui saluran paip minyak dapat mengurangkan impak penutupan Selat Hormuz, Innes berkata saluran paip minyak Timur-Barat Arab Saudi dan laluan eksport Fujairah di Emiriah Arab Bersatu menyediakan kapasiti untuk sebahagian penghantaran.

Bagaimanapun, katanya ini hanya mengimbangi sebahagian daripada jumlah keseluruhan selat yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada pergerakan perdagangan minyak global.

“Ini mengurangkan impak serius gangguan tetapi tidak dapat menangani impak sistemik jika penghantaran itu lumpuh,” katanya

Setakat petang ini, minyak mentah Brent meningkat 2.87 peratus kepada US$72.87 setong.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan