AM

SULTAN PAHANG, TENGKU AMPUAN ZAHIR UCAPAN SELAMAT HARI TENTERA DARAT KE-93

01/03/2026 09:14 PM

KUANTAN, 1 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah dan selamat menyambut Hari Tentera Darat Ke-93 kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) termasuk veteran yang telah menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota dan pegawai yang sedang berkhidmat, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara, atas kesetiaan serta kecekalan dalam memikul amanah yang besar.

“Pengorbanan yang dicurahkan, sama ada di medan operasi mahupun dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana, mencerminkan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi memastikan keamanan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Tidak dilupakan juga jasa para veteran yang telah bersara, yang pengorbanan dan sumbangan mereka kekal terpahat dalam lipatan sejarah pertahanan negara,” titah baginda berdua yang dimuat naik menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang hari ini. 

Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang turut menzahirkan harapan semoga sambutan berkenaan menjadi pemangkin untuk seluruh warga TDM terus memperkukuh kesiapsiagaan, mempertingkat keupayaan dan mengekalkan kecemerlangan dalam setiap penugasan.

Baginda berdua juga mendoakan agar semua anggota sentiasa dilindungi, dikurniakan kesihatan yang baik serta kekuatan dalam menjalankan tanggungjawab demi kedaulatan dan kemakmuran Malaysia yang tercinta. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan