KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Budaya menghukum sebelum siasatan dimuktamadkan serta bertindak berlandaskan emosi, khususnya dalam isu membabitkan sensitiviti agama, tidak seharusnya dinormalisasikan dalam masyarakat yang menjunjung prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Sebaliknya, keyakinan wajar diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan berlandaskan lunas perundangan termasuk dalam menangani insiden memijak al-Quran, menurut beberapa penggiat industri hiburan tempatan.
Menyifatkan kemarahan terhadap penghinaan agama sebagai reaksi yang boleh difahami, pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki serta pelakon Rozaidi Jamil bagaimanapun berpandangan tindakan melulu atau mudah ‘melatah’ dengan menganggap kerajaan tidak mengambil tindakan hanya akan memburukkan keadaan serta menggugat kestabilan negara.
Afdlin berkata sebagai rakyat Malaysia, semua pihak perlu mempertahankan prinsip keadilan dan menghormati proses undang-undang, apatah lagi isu agama amat sensitif dan memerlukan pendekatan bijaksana.
“Tindakan penguatkuasaan tidak semestinya diumumkan secara terbuka. Namun, setiap siasatan dijalankan mengikut prosedur undang-undang yang teliti bagi memastikan keadilan terlaksana. Hanya kerana tidak melihat kenyataan keras atau tindakan dipaparkan, tidak bermakna tiada siasatan dijalankan.
“Kalau yang mentadbir negara semua ikut emosi, ‘tunggang-terbalik’ pentadbiran negara kerana keputusan dibuat berdasarkan kemarahan. Saya percaya tindakan tegas akan diambil tetapi mesti dibuat dengan cermat (cukup bukti). Kita mahukan keadilan, bukan sekadar kepuasan sementara,” katanya.
Beliau yang juga pelawak berkata sebagai rakyat Malaysia, semua pihak wajar mempertahankan prinsip keadilan dan menghormati proses undang-undang sambil menegaskan hal berkaitan agama bukan sekadar isu biasa sebaliknya perlu ditangani dengan cermat serta berhemah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menggesa semua pihak agar menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada pihak berkuasa serta tidak membuat spekulasi atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian awam.
Beliau berkata tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung insiden memijak al-Quran adalah tidak berasas walhal pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
Sehubungan dengan itu, Afdlin menegaskan kepentingan menjaga keharmonian negara berbilang agama, serta menyeru masyarakat agar tidak membiarkan emosi menguasai tindakan dalam menangani perihal yang melibatkan sensitiviti agama, bangsa termasuk insiden memijak al-Quran.
“Saya juga marah, saya juga sakit hati. Sebagai seorang Muslim dan sebagai rakyat Malaysia, isu penghinaan agama bukan perkara kecil. Ia menyentuh maruah, menyentuh iman, menyentuh harga diri kita.
“Malaysia ini negara berbilang agama. Bagaimanapun, persepsi bahawa kerajaan lambat bertindak terhadap insiden berkenaan perlu dinilai secara adil dan berasaskan fakta,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon Rozaidi atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata dalam era media sosial ketika ini, penyebaran maklumat yang tidak disahkan boleh memberikan kesan besar terhadap perpaduan dan kestabilan negara.
Beliau berkata amat penting masyarakat memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional serta telus, dan bukannya mengharapkan kerajaan segera menghukum atau bertindak serta-merta tanpa menunggu proses siasatan dimuktamadkan.
“Kita harus mempertahankan prinsip keadilan dan menghormati proses undang-undang. Menuduh tanpa bukti bukan sahaja tidak membantu, malah boleh merosakkan perpaduan yang telah lama dibina,” katanya.
Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam dalam media sosial dengan memijak al-Quran, dan setakat semalam sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata reman terhadap lelaki berumur 21 tahun itu disambung hingga 3 Mac selepas arahan Timbalan Pendakwa Raya bagi melengkapkan siasatan.
-- BERNAMA
