DUNIA

HIZBULLAH LANCAR SERANGAN ROKET, DRON KE ATAS TAPAK PERTAHANAN PELURU BERPANDU ISRAEL

02/03/2026 11:38 AM

ISTANBUL, 2 Mac (Bernama-Anadolu) -- Hizbullah pada Isnin menyatakan bahawa ia melancarkan bedilan roket dan serangan dron dari selatan Lubnan yang menyasarkan tapak pertahanan peluru berpandu Israel di selatan bandar Haifa, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan, kumpulan Lubnan itu memaklumkan bahawa serangan tersebut menyasarkan tapak pertahanan udara Mishmar HaCarmel sejurus selepas tengah malam.

Hizbullah menyifatkan operasi itu sebagai “tindak balas pertahanan yang sah” dan menyatakan bahawa serangan serta pembunuhan berterusan oleh Israel mewajarkan tindakan balas, sambil menggesa pegawai supaya menghentikan apa yang dipanggilnya sebagai pencerobohan AS-Israel.

Ia menyatakan serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemingin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dan serangan serta pembunuhan berterusan oleh Israel mewajarkan tindakan balas tersebut.

Kumpulan itu menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk menghentikan pencerobohan AS-Israel terhadap Lubnan.

Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam pada Isnin berkata bahawa pelancaran roket dari selatan Lubnan adalah satu “tindakan yang tidak bertanggungjawab dan mencurigakan” yang membahayakan keselamatan negara serta memberi alasan kepada Israel untuk meneruskan serangannya.

Salam berkata sesiapa pun dalang di sebalik kejadian itu, pelancaran roket itu mengancam keselamatan dan kestabilan Lubnan.

Beliau menambah bahawa Lubnan “tidak akan membenarkan negara ini terjerumus ke dalam konflik baharu” dan pihak berkuasa akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab serta melindungi rakyat Lubnan. 

Kenyataan itu dibuat selepas kumpulan Hizbullah sebelum ini mengaku bertanggungjawab melancarkan roket dan dron dari selatan Lubnan ke arah utara Israel, dengan menyatakan serangan itu menyasarkan tapak pertahanan peluru berpandu Israel berhampiran Haifa.

-- BERNAMA-ANADOLU



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan