KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen mesti mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelancong yang tidak meninggalkan Malaysia mengikut tempoh tinggal yang ditetapkan, tegas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan bilangan pelancong yang masuk ke Malaysia sepadan dengan jumlah yang keluar.
“Isu (ketidaksepadanan) ini memang banyak dipersoalkan. Pelancong masuk ke Malaysia bukan sahaja melalui ejen pelancongan, malah ada individu yang datang secara sendiri dari pelbagai negara.
“Kalau ada mana-mana pelancong tidak meninggalkan negara mengikut tempoh, Jabatan Imigresen mesti mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini
Tiong menjawab celahan Senator Husin Ismail, yang membangkitkan isu pelancong yang tidak pulang dan mencadangkan ejen pelancongan bertanggungjawab memastikan pelancong meninggalkan negara mengikut jadual bagi mengelakkan ketidakseimbangan jumlah pelancong.
Tiong berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga telah meminta pejabat kedutaan beberapa negara termasuk China supaya menyediakan senarai nama dan nombor pasport pelancong yang melebihi tempoh tinggal bagi memastikan pengurusan lebih berkesan.
“Pejabat kedutaan akan menjalankan siasatan, manakala Jabatan Imigresen akan mengumpul senarai pelancong yang overstay, dan MOTAC pula akan mengenal pasti ejen yang terlibat supaya tindakan boleh diambil,” jelas beliau.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan jaminan bahawa autonomi imigresen bagi negeri Sabah dan Sarawak akan terus dipertahankan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata meskipun Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) telah mula berkuasa sejak 1 Jan 2025, kuasa autonomi wilayah Borneo tidak akan terjejas.
"Di bawah Seksyen 6(3) Akta 860, AKPS diwajibkan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri Sabah dan Sarawak berkaitan kawalan individu di pintu masuk negara.
“Pelaksanaan akta baharu ini sama sekali tidak akan menghakis kuasa sedia ada kerajaan negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Mohamad Alamin pada sesi penggulungan kementeriannya berkata KUSKOP sedang melaksanakan inisiatif rekayasa proses kerja bagi memendekkan tempoh kelulusan pembiayaan usahawan, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan agensi di bawahnya.
Beliau berkata langkah itu diambil selaras dengan strategi 'ABCD' kementerian, iaitu anjakan produktiviti, birokrasi dipermudah, capaian modal dan daya akses pasaran bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Melalui inisiatif itu, Tekun Nasional memendekkan tempoh kelulusan dan penyaluran dana daripada 10 hari kepada lima hari bekerja, SME Corp mempercepat akses pembiayaan melalui penyedia kewangan alternatif daripada 21 hari kepada tujuh hari, manakala SME Bank mengurangkan tempoh kelulusan pembiayaan modal kerja bagi RM100,000 hingga RM1 juta daripada 30 kepada 15 hari bekerja.
Mohamad turut memaklumkan bahawa Bank Rakyat juga telah mempercepat urusan pembiayaan PMKS daripada 30 hari kepada 14 hari, manakala urusan Ar-Rahnu kini hanya mengambil masa 10 minit berbanding 40 minit sebelum ini.
Turut menggulung perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong hari ini ialah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Digital.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA
