AM

HAD TEMPOH JAWATAN PM REFORMASI INSTITUSI PERKUKUH DEMOKRASI - AHLI PARLIMEN

02/03/2026 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan langkah reformasi institusi yang mengukuhkan asas demokrasi dan tadbir urus negara.

Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berkata keberanian kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pindaan itu wajar dipuji kerana menterjemahkan komitmen reformasi melalui tindakan, bukan retorik.

Beliau berkata pindaan itu tidak menjejaskan prerogatif Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya hanya menetapkan syarat kelayakan perlembagaan baharu bagi jawatan Perdana Menteri.

“Ia hanya meletakkan satu syarat kelayakan perlembagaan baharu bagi jawatan Perdana Menteri dan bertujuan melindungi institusi diraja daripada terus diheret ke dalam kemelut percaturan politik,” katanya.

Dr Zaliha yang juga Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun di Dewan Rakyat, hari ini.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata had tempoh jawatan Perdana Menteri penting bagi mengelakkan penumpuan kuasa terlalu lama pada satu susuk.

“Seorang Perdana Menteri apabila beliau mengetahui ada tempoh jawatan terhad, beliau akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan apa yang dijanjikan. Tiada honeymoon period, tiada dolak-dalik, bila dilantik menjadi Perdana Menteri harus terus deliver,” katanya.

Beliau berkata parti-parti politik juga perlu mengubah budaya politik dan memastikan mereka sentiasa mempunyai calon Perdana Menteri untuk masa depan.

Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) berkata pendekatan menetapkan had tempoh 10 tahun adalah lebih jelas berbanding kiraan penggal, kerana tempoh masa merupakan ukuran objektif yang tidak terikat dengan kitaran pilihan raya atau pembubaran Parlimen.

“Hal ini kerana tempoh masa adalah ukuran yang objektif dan tidak bergantung kepada kitaran pilihan raya atau percaturan politik yang membawa kepada pembubaran Parlimen,” katanya.

Ahli Parlimen pembangkang, Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) juga berpendapat had jawatan Perdana Menteri sebagai mekanisme untuk mencegah pemusatan kuasa.

"Cadangan pindaan ini mempunyai niat baik untuk memperkukuh demokrasi dan mempertingkat akauntabiliti, namun kita mesti berhati-hati agar ia tidak merombak struktur asas yang telah menjadi tunjang negara sejak kemerdekaan," katanya.

Halimah Ali (PN-Kapar) pula berkata had tempoh jawatan Perdana Menteri dilihat sebagai langkah ke arah sebuah tadbir urus yang baik kerana ia memberikan mesej bahawa kepimpinan adalah amanah dan bukan hak milik kekal.

Namun, beliau berkata keberkesanannya bergantung kepada keseluruhan ekosistem demokrasi termasuk tadbir urus yang baik serta prinsip kedaulatan undang-undang yang tinggi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan